Utama Teknologi SKMM saman telco RM2.29 juta, Kesalahan Pendaftaran Palsu Kad Sim Prabayar

SKMM saman telco RM2.29 juta, Kesalahan Pendaftaran Palsu Kad Sim Prabayar

806
0

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengenakan sebanyak 50 tindakan saman ke atas syarikat-syarikat telco di Malaysia atas tindakan melakukan pendaftaran palsu untuk kad-kad SIM prabayar. Sepanjang tahun 2015, nilai saman yang terkumpul telah mencecah kepada angka RM 2.29 juta.

Sesuai dengan peranannya yang bertindak sebagai badan pemantau telekomunikasi, sejumlah 25 saman telah dikeluarkan dari bulan Mac hingga September oleh SKMM. Baki selebihnya dikeluarkan pada bulan Disember ini.

Bagi bulan Disember, Tune Talk merupakan syarikat telco yang paling banyak melakukan kesalahan dengan sejumlah tujuh pendaftaran palsu telah dilakukan dengan nilai saman sebanyak RM 350,000. Ini diikuti oleh DiGi dan Celcom Mobile. Lain-lain syarikat telco yang turut dikenakan tindakan saman pada bulan ini adalah Celcom Axiata, Maxis, XOX, Merchantrade Asia (Merchantrade Mobile), Ceres Telekom (FRiENDi), dan Altel.

Peningkatan jumlah pendaftaran palsu pada bulan Disember ini mendatangkan kebimbangan memandangkan tujuan asal pendaftaran pengguna kad SIM prabayar ini adalah untuk menghalang penyalahgunaan perkhidmatan taliah mudah alih prabayar.

Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Encik Zulkarnain Mohd Yasin memaklumkan bahawa jumlah pendaftaran palsu kad SIM prabayar pada tahun ini telah meningkat sebanyak 89 peratus berbanding tahun 2014.

Diharapkan tindakan saman ini dapat memberikan peringatan buat syarikat-syarikat telco tentang perlunya langkah serius diambil untuk mengatasi masalah pendaftaran palsu untuk mencegah penyalahgunaan perkhidmatan talian mudah alih prabayar oleh sesetengah pihak.

-Sumber berita diperoleh oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.