Utama Mobile Aplikasi Pelaksanaan Sistem Pembayaran Tol Terbuka di 11 Lebuhraya telah dimulakan 29 September...

Pelaksanaan Sistem Pembayaran Tol Terbuka di 11 Lebuhraya telah dimulakan 29 September 2023

175
0
Imej dari X [Twitter] Alexander Nanta Linggi

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi telah mengumumkan pelaksanaan Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) bermula secara rasmi pada 29 September 2023 di 11 lebuhraya di Semenanjung Malaysia.

Seperti yang dijanjikan, pengenalan sistem ini membolehkan pengguna lebuhraya membayar tol menggunakan kad debit dan kredit masing-masing selain menggunakan kaedah biasa seperti kad Touch ‘n Go, RFID dan SmartTAG.

“Saya bangga kerana Lembaga Lebuhraya (LLM) dapat tepati janji supaya 11 syarikat konsesi ini untuk membuka sekurang-kurangnya satu lorong SPT. Kini pengguna lebuh raya tidak terhad kepada pembayaran Touch n Go, Smart Tag dan RFID namun turut diberi pilihan untuk membuat bayaran dengan kad kredit dan debit” katanya kepada pemberita selepas melancarkan sistem SPT di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), baru-baru ini.

Senarai lebuhraya yang boleh guna kad debit dan kredit

Imej dari Twitter (X) Alexander Nanta Linggi

11 buah lebuhraya yang menawarkan kaedah pembayaran tersebut meliputi:

  • Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA)
  • Lebuhraya Baru Pantai  (NPE)
  • Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)
  • Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT)
  • Lebuhraya Shah Alam (KESAS)
  • Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART)
  • Lebuhrava Duta – Ulu Kelang (DUKE)
  • Maju Expressway (MEX)
  • Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE)
  • Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur  (AKLEH)
  • Lebuhrava Kulim – Butterworth (BKE)

“Kalau terhad kepada satu sistem sahaja mungkin kadang kala terdapat kekurangan baki dan ia akan memberi masalah. Jadi apa yang dilakukan ini adalah salah satu perancangan untuk kita melaksanakan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF),”

Buat masa ini menteri berkenaan tidak menyatakan sama ada terdapat perancangan untuk menambah lorong-lorong SPT di plaza-plaza tol yang menawarkan sokongan tersebut.

Jambatan Pulau Pinang pada asalnya dirancang untuk dimasukkan di dalam senarai lebuhraya-lebuhraya yang terlibat di dalam SPT. Namun, dimaklumkan ia akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini bagi memberikan lebih masa kepada pihak konsesi untuk menjalankan kajian mengenainya.

Menteri Kerja Raya juga menyatakan perbincangan sedang diadakan bagi memperkenalkan SPT ke lebih banyak lebuhraya di seluruh negara.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.