ASUS pada minggu lepas pernah memberikan bayangan untuk membawakan ROG Ally dengan Ryzen Z1 ke pasaran Malaysia melalui syarikat telekomunikasi tempatan. Baru-baru ini CelcomDigi telah mengumumkan penawaran konsol permainan mudah alih tersebut boleh didapati menerusi langganan pelan fibernya.
Menurut CelcomDigi, ASUS ROG Ally ditawarkan kepada pelanggan pelan fiber 300Mbps dan ke atas. Lebih kurang sama dengan penawaran PlayStation 5 melalui langganan pakej internet fiber yang ditawarkan sebelum ini.
Selain dari harga langganan mengikut pakej yang diambil, pelanggan yang berhasrat mendapatkan konsol permainan tersebut juga perlu menambah RM114 ke dalam bil. Kos tersebut bersamaan dengan RM4 sehari, sebagaimana yang diiklankan.
Menggunakan sistem operasi Windows 11, ASUS ROG Ally varian ini didatangkan dengan pemprosesan AMD Ryzen Z1 yang mempunyai CPU Z4 6 teras 12 bebenang dengan grafik RDNA 3. Konsol yang seberat 608g ini juga mempunyai skrin FHD 7-inci 120Hz. Pembelian ASUS ROG Ally juga turut hadir dengan tawaran percuma PC Game Pass selama 3 bulan yang didatangkan bersama-sama langganan EA Play.
Anda yang berminat untuk mendapatkan ASUS ROG Ally Z1 menerusi CelcomDigi boleh mendaftar pakej pelan fiber CelcomDigi di mana-mana cawangan Celcom Bluecube, Digi Store dan rakan pengedar di seluruh negara. Berdasarkan kenyataan di halaman soalan lazim, penghantaran akan mengambil masa sekitar tiga hingga lima hari bekerja jika di Semenanjung Malaysia atau lima hingga tujuh hari jika penghantaran di Sabah dan Sarawak.