Utama Mobile Android Siri Huawei Mate 30 tidak mengandungi komponen dari A.S.

Siri Huawei Mate 30 tidak mengandungi komponen dari A.S.

600
0

Perintah eksekutif oleh kerajaan Amerika Syarikat telah memberikan kesan yang mendalam terhadap Huawei. Antara kesan yang dihadapinya termasuklah ketiadaan akses ke Google Mobile Services (GMS) dan sekatan menjalankan urusniaga dengan syarikat-syarikat dari A.S.

Siri Mate 30 telah menjadi korban pertama perang perdagangan yang kini sedang berlangsung apabila tiada sebarang komponen-komponen buatan A.S. dipasangkan pada Mate 30 dan Mate 30 Pro.

Pendedahan ini dilaporkan oleh akhbar Wall Street Journal dan juga oleh Sally Shin, Ketua Biro di CNBC. Penemuan ini pada asalnya dilakukan oleh UBS dan Fomalhaut Techno Solutions, sebuah firma yang berpangkalan di Jepun.

Telefon pintar siri Mate 30 mula dihasilkan selepas perintah eksekutif sekatan perdagangan terhadap Huawei dikeluarkan. Sejak dari itu, Huawei mula mencari alternatif lain bagi menjayakan penghasilan model telefon pintar berkenaan.

Misalnya, penguat audio untuk kedua-dua model ini datangnya dari NXP, sebuah syarikat berpangkalan di Belanda. Manakala untuk Wi-Fi dan Bluetooth pula dari HiSilicon, sebuah syarikat milik Huawei. Lain-lain komponen pula datang dari sama ada Murata atau MediaTek.

Sungguhpun dikenakan sekatan, Huawei menyatakan pihaknya terbuka untuk kembali menggunakan komponen-komponen dari A.S. Buat masa ini pentadbiran Trump sedang melakukan persediaan menandatangani “fasa pertama” perjanjian dagang dengan China. Ia dilakukan bertujuan membolehkan kedua-dua kuasa besar dunia ini berdagang komponen-komponen “tidak sensitif” tanpa sekatan.

Mate 30 dan Mate 30 Pro merupakan telefon pintar mercu yang diakui kecekapan dan kecanggihannya sungguhpun tidak menggunakan sebarang komponen dari A.S. Namun, ketiadaan Google Mobile Services (GMS) menyebabkan ianya agak sukar diterima oleh pengguna-pengguna yang sudah terbiasa dengan ekosistem Google.

Sumber berita diperoleh dari Techspot

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.