Bagi anda yang melanggan perkhidmatan Celcom atau Xpax, anda mungkin mengalami gangguan rangkaian dari masa ke semasa pada ketika ini. Pengguna yang terkesan mungkin mengalami masalah membuat atau menerima panggilan dan juga pada sambungan internet mudah alih. Masalah ini turut melibatkan pengendali rangkaian mudah alih lain yang menggunakan infrastruktur Celcom seperti redONE, Tune Talk, XOX Mobile dan Yoodo.
Gangguan rangkaian ini mula dikesan sejak dari Isnin lepas dan dijangkakan bakal berterusan sepanjang lima hari berikutnya sehingga 13 Disember 2019. Bagaimanapun, masalah ini hanya melibatkan pengguna-pengguna di sekitar Lembah Klang, Selangor, Johor dan Sabah berikutan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual oleh Celcom.
Celcom pada masa yang sama sedang berusaha mengurangkan kesan terhadap penggunanya melalui pelaksanaan migrasi terancang bagi mengoptimumkan penggunaan data dan suara di dalam rangkaiannya. Di dalam kenyataan yang sama, Celcom turut menjelaskan pelaksanaan ini akan dilakukan secara berperingkat mengikut kawasan-kawasan yang telah ditetapkan.
Baik, terima kasih. Maaf di atas kesulitan yang dialami. Untuk makluman, ada aktiviti penyelenggaraan rangkaian di kawasan Klang Valley & Selangor, Johor dan Sabah.
— Celcom Axiata (@Celcom) December 9, 2019
Syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi ini juga pernah dilaporkan mengalami gangguan pada September lalu melibatkan pengguna-penggunanya di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Cuma, gangguan berkenaan bukan disebabkan oleh kerja-kerja penyelenggaraan. Sebaliknya disebabkan oleh kerosakan pada kabel gentian yang diakibatkan oleh kerja-kerja pembinaan di kawasan kabel berkenaan. Gangguan berkenaan telah berjaya dipulihkan dalam tempoh satu hari.
Sumber berita diperoleh dari Twitter Celcom