Selepas pelancaran siri iPhone 14, Apple dilaporkan telah meminta pembekalnya untuk meningkatkan pengeluaran iPhone kerana menjangkakan terdapat permintaan yang tinggi ketika musim cuti hujung tahun ini.
Bagaimanapun, kini Apple dilihat telah kembali ke rancangan asalnya dengan tidak meningkatkan pengeluaran iPhone 14 bagi jangka pendek.
Menurut laporan dari Bloomberg semalam, jualan iPhone 14 tidak begitu memberangsangkan untuk mewajarkan pengeluarannya ditingkatkan. Laporan tersebut menyatakan peningkatan yang diramalkan tidak berlaku seperti yang diharapkan.
Kebiasaannya, Apple meningkatkan pengeluaran pada waktu-waktu seperti ini bagi memenuhi permintaan jualan musim cuti. Menurut sumber kepada laporan tersebut memaklumkan Apple pada awalnya ingin meningkatkan pengeluaran iPhone 14 sekurang-kurangnya 6 juta unit lagi menjelang hujung tahun ini. Namun rancangan tersebut telah dibatalkan.
Beberapa hari yang lepas, penganalisis Ming-Chi Kuo melaporkan Apple telah meminta Foxconn untuk meningkatkan pengeluaran iPhone 14 Pro sebanyak 10%. Menurut beliau, model Pro merupakan model paling laris di kalangan model tahun ini dengan iPhone 14 dan iPhone 14 Plus tidak begitu mendapat sambutan.
Tahun ini Apple telah memperkenalkan empat model iPhone baharu iaitu:
- iPhone 14
- iPhone 14 Plus
- iPhone 14 Pro
- iPhone 14 Pro Max
iPhone 14 standard tidak menerima penambahbaikan besar berbanding generasi sebelumnya. Hanya beberapa penambahbaikan yang disediakan padanya seperti pemprosesan yang sedikit lebih pantas, sambungan satelit, ciri kamera baharu dengan model Plus pula menggantikan iPhone mini.