Utama Mobile Android Samsung perkenalkan Galaxy M, usaha saingi Xiaomi di India

Samsung perkenalkan Galaxy M, usaha saingi Xiaomi di India

866
0

Samsung telah mendedahkan siri telefon pintar terbarunya, Galaxy M di India hari ini sebagai salah satu usaha menyaingi pencabarnya di pasaran India, Xiaomi. Dua telefon pintar bersistem operasi Android, M10 dan M20, kedua-duanya menampilkan paparan bertakuk Infinity-V, direka sebagai kesinambungan kepada siri telefon pintar Galaxy A.

Disasarkan kepada pengguna generasi Millennial, Samsung Galaxy M dilancarkan oleh Samsung dengan usahasama Amazon India.

Galaxy M 20 menawarkan paparan 6.3-inci (1080 × 2340) dengan nisbah aspek 19.5:9, dan ianya dikuasakan oleh chipset terbaru Exynos 7904 empat-teras. Samsung menawarkan dua variasi Galaxy M20, iaitu 3GB RAM – 32GB ROM, dan 4GB RAM – 64GB ROM. Menariknya, Samsung menyertakan bateri berkapasiti 5,000 mAh untuk Galaxy M20, sesuatu yang agak lumayan terutamanya untuk telefon pintar pada bajet yang setaranya.

Untuk telefon pintar Samsung Galaxy M10 pula, ia menawarkan paparan 6.22-inci (720 × 1520) dengan nisbah aspek 19.5:9 bersama-sama kuasa pemprosesan Exynos 7870, seterusnya menjadikan ianya lebih tinggi tahap kecekapan tenaganya. Atas sebab itu, bateri untuk peranti ini lebih kecil berbanding M20 iaitu 3,400 mAh.

Kedua-duanya, M10 dan M20 memiliki kamera utama dengan dwi-lensa – 13MP F1.9 dan 5MP F2.2 bersudut ultra-luas. Samsung turut menempatkan penderia cap jari pada bahagian belakang telefon pintar siri ini berserta sebuah port USB-C, dan sebuah bicu audio.

Kedua-dua model telefon pintar ini merupakan taruhan besar buat Samsung. Berdasarkan statistik yang dikumpulkan oleh Counterpoint, Xiaomi mengambil alih pegangan pasaran telefon pintar dari Samsung pada lewat 2017 dan terus menguasainya pada tahun berikutnya.

Samsung kini sedang dalam usaha untuk meraih kembali penguasaannya di India dari Xiaomi dan kini jurang perbezaan di antara kedua-duanya semakin melebar. Samsung Galaxy M merupakan taruhan terbaik untuk kembali merajai pasaran India.

Samsung Galaxy M10 dijual dengan harga $112 (lebih kurang RM466). Manakala untuk Galaxy M20 pula, harga jualannya di India bermula dari $155 (lebih kurang RM637). Kedua-dua model telefon pintar yang dijual dengan pilihan warna ocean blue dan charcoal black ini mula dijual di pasaran India pada 5 Februari 2019.

Sumber berita diperoleh dari Samsung

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.