Samsung secara rasminya telah mengumumkan Galaxy Z Fold 6 dan Galaxy Z Flip 6 bersama-sama Galaxy Buds 3 dan Galaxy Buds 3 Pro di dalam acara Galaxy Unpacked di Paris, Perancis.
Selaras dengan usaha memperkenalkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) menerusi Galaxy AI pada peranti keluarannya, Samsung turut memperkenalkan ciri tersebut di dalam telefon pintar boleh lipat keluaran baharunya ini.
Inovasi untuk telefon pintar boleh lipat masih diteruskan lagi dengan menghasilkan siri Galaxy Z yang paling nipis dan paling ringan setakat ini yang dioptimumkan untuk kemudahalihan. Reka bentuknya juga kini lebih bersimetri dengan bucunya yang lurus menjadikan rekabentuk Galaxy Z Fold 6 lebih trampil estetikanya.
Bersama-sama rekaan yang lebih diperkemaskan, siri Galaxy Z baharu ini juga tereka bentuk dengan binaan yang lebih kukuh. Struktur engsel dwi-landasannya turut disokong oleh bucu boleh lipatnya yang diluruskan bagi memberikan agihan sentakan impak luaran yang lebih baik.
Selain itu, lapisan yang diperkayakan pada skrin utamanya membantu menambahbaik bahagian lipatannya disamping mengekalkan keutuhannya. Telefon pintar boleh lipat baharu ini juga dilengkapkan dengan Armor Aluminium dan Corning Gorilla Glass Victus 2 bagi menjadikan siri Galaxy Z paling kukuh setakat ini.
Untuk pemprosesannya, kedua-dua Galaxy Z Fold 6 dan Galaxy Z Flip 6 menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3 Mobile Platform for Galaxy. Pemprosesan mudah alih Snapdragon ini merupakan paling maju setakat ini dengan menggabungkan prestasi CPU, GPU dan NPU terbaik. Ia dioptimumkan untuk pemprosesan AI dan menawarkan grafik yang diperkayakan bersama-sama prestasi keseluruhan yang dipertingkatkan. Sistem penyejukannya dinaik taraf bagi memaksimumkan prestasinya dengan kebuk pengewapan yang lebih besar pada Galaxy Z Fold 6, selain buat pertama kalinya memperkenalkan pada kebuk pengewapan pada Galaxy Z Flip 6.
Isi Kandungan
Galaxy Z Fold 6: Skrin besar dengan Produktiviti dipertingkatkan oleh AI
Galaxy Z Fold 6 menawarkan sejumlah ciri-ciri dan alatan berkuasa AI yang mampu memanfaatkan skrin dalamannya yang lebih besar disamping meningkatkan produktiviti penggunanya.
Ciri Note Assist di dalam aplikasi Samsung Notes menawarkan terjemahan, rumusan dan pemformatan auto untuk catitan nota mesyuarat yang lebih mudah dan ringkas. Tambahan dari itu, ciri transkrip yang terbinanya dapat melaksanakan transkripsi terjemahan dan rumusan dari rakaman suara untuk dimasukkan terus ke dalam Notes.
Teks di dalam PDF juga dapat diterjemahkan terus secara atas overlay menerusi sokongan PDF translation overlay.
Fungsi sokongan AI pada teks turut diperluaskan lagi dengan Composer yang disediakan di dalam Samsung Keyboard. Ia akan menuliskan ayat-ayat penuh berdasarkan kata-kata kunci yang pengguna berikan dengan gaya ayat pilihan yang disediakan.
Selain dari itu, sokongan Galaxy AI lain turut diperkenalkan pada Galaxy Fold 6 yang baharu dilancarkan ini seperti:
- Sketch to Image
- Integrasi dengan Google Gemini
- Circle to Search
- Interpreter
- Live Translate
- ProVisual Engine
- Photo Assist
- Portrait Studio
- Instant Slow-mo
Pengalaman permainan mudah alih menerusi Galaxy Z Fold 6 juga dipertingkatkan lagi dengan penambahan ruang kebuk pengewapan yang kini 1.6 kali lebih besar untuk mengurangkan kesan pemanasan pemprosesannya. Kualiti grafik permainan pada telefon pintar ini turut dijana menggunakan teknologi Ray Tracing bagi menghasilkan kualiti grafik yang kelihatan lebih hidup.
Galaxy Z Flip 6: Mewujudkan Pengalaman mengikut Kesesuaian Unik Pengguna
Galaxy Z Flip 6 bukan sekadar dioptimumkan untuk kebolehalihannya, ia juga menawarkan kebolehsuaian yang lebih lagi. Skrin Super AMOLED FlexWindow 3.4-inci pada bahagian luarnya kini dilengkapkan dengan sokongan Suggested Replies. Ia memudahkan pengguna memberikan respon balas dengan melihat cadangan yang dijana berdasarkan mesej-mesej terkini dari pengguna.
Ciri FlexCam yang popular dengan siri telefon pintar ini diteruskan lagi pada model tahun ini dengan memperkenalkan fungsi kreativiti baharu seperti Auto Zoom.
Sistem dwi-kamera pada Galaxy Z Flip 6 kini dipertingkatkan dengan menawarkan kamera utama 50MP bersama-sama kamera ultra lebar 12MP. Kamera 50MP baharu ini juga menawarkan sokongan zum optikal 2x dan zum digital 10x.
Ciri Nightography yang diperkayakan dengan video HDR pula membolehkan telefon pintar ini mengambil video dalam keadaan kurang pencahayaan. Sokongan tangkapan imej & video waktu malam kini semakin mudah untuk dikongsikan di dalam Instagram dengan fungsi tersebut tersedia di dalam aplikasi media sosial berkenaan.
Siri Galaxy Buds 3 baharu, kini dengan rekaan bertangkai
Berbeza dengan siri-siri Galaxy Buds sebelumnya, Buds 3 tampil dengan rekaan bertangkai berbanding sebelumnya yang berbentuk bebola. Siri earbuds baharu ini juga menyediakan sokongan Interpreter dan juga Voice Command.
Untuk fungsi Interpreter, anda boleh menggunakannya di dalam Listening Mode pada Galaxy Z Flip 6 dan Galaxy Fold 6. Ia akan membantu terjemahan dalam masa nyata seperti ketika anda sedang mendengar ceramah di dalam bahasa asing.
Seperti biasa, earbuds ini juga menyediakan fungsi Active Noise Cancellation (ANC) yang membantu anda mempertingkatkan kualiti audio yang anda sedang nikmati. Bersama-sama fungsi tersebut, ia turut dibantu dengan Adaptive Noise Control, Siren Detect dan Voice Detect untuk membantu anda lebih kebebasan mengawal mengikut kesesuaian pendengaran anda.
Untuk Buds 3 Pro, pada bahagian tangkainya terdapat satu jalur cahaya unik yang dinamakan sebagai Blade Lights.
Ketersediaan Galaxy Z Fold 6, Z Flip 6, Buds 3 Pro dan Buds 3
Siri Galaxy Z Fold6, Galaxy Z Flip6 dan Galaxy Buds3 akan tersedia untuk prapesanan mulai hari ini, 10 Julai 2024, dengan ketersediaan umum mulai 24 Julai 2024.
Galaxy Z Fold6 tersedia dalam Silver Shadow, Pink dan Navy, manakala Galaxy Z Flip6 juga tersedia dalam pilihan warna Silver Shadow, Yellow, Blue dan Mint supaya anda boleh memilih warna yang paling sesuai dengan gaya anda. Atau pesan dalam talian di Samsung.com dan akses warna eksklusif siri Galaxy Z seperti Crafted Black, White serta pilihan warna Peach untuk Galaxy Z Flip6.
Siri Galaxy Buds3 menawarkan reka bentuk yang sangat anggun, moden dan selesa tersedia dalam dua warna, Silver dan White.