Utama Aksesori Jam Tangan Pintar Samsung Galaxy Watch 7, Watch Ultra kini rasmi; Harga bermula dari RM1,199

Samsung Galaxy Watch 7, Watch Ultra kini rasmi; Harga bermula dari RM1,199

119
0

Samsung secara rasminya telah mengumumkan jam tangan pintar baharunya di dalam acara Unpacked malam tadi menerusi Galaxy Watch 7 dan Galaxy Watch 7 Ultra. Jam tangan pintar ini dimuatkan dengan alatan-alatan AI, serta sensor-sensor baharu untuk meningkatkan kualiti penjejakan kesihatan dan kecergasan.

Galaxy Watch 7 yang menampilkan rekaan yang hampir sama dengan model sebelumnya ini melalui paparan AMOLED dengan kristal nilam (sapphire) ini hadir dengan pilihan saiz 40mm dan 44mm. Peranti boleh pakai ini dilengkapkan dengan BioActive Sensor yang telah dipertingkatkan bagi membolehkan bacaan kadar nadi, elektrokardiogram, tekanan darah, paras gula dalam darah (Advanced Glycation End Products, AGEs) dan banyak lagi dengan lebih tepat.

Selain itu, jam tangan pintar ini juga dilengkapkan denga algoritma AI untuk analisa tidur dan pemakluman untuk kadar nadi rendah dan tinggi yang abnormal. Untuk senaman, Galaxy Watch 7 membolehkan anda menjejak lebih dari 100 rutin dan hadir dengan GPS dwi-frekuensi untuk penjejakan lokasi yang tepat. Untuk perlindungannya, jam tangan ini mampu bertahan pada tekanan sehingga 5ATM, serta penarafan IP68 dan MIL-STD-810H untuk tahap kelasakannya.

Melalui sokongan Galaxy AI, jam tangan pintar ini menawarkan cadangan respon berdasarkan perbualan sebelumnya untuk memberikan maklumbalas yang lebih pantas untuk mesej berkenaan. Juga disediakan Double Pinch Gestures yang membolehkan anda mengawal jam tangan pintar tersebut tanpa perlu menyentuhnya. Fungsi tersebut bagaimanapun pun perlu digunakan bersama-sama telefon pintar Samsung yang dipautkan padanya.

Galaxy Watch 7 menggunakan pemprosesan Exynos W1000 3nm yang bergandingan dengan RAM 2GB dan storan yang kini digandakan kepada 32GB. Kapasiti bateri untuk kedua-dua saiz jam tangan pintar berkenaan masih lagi sama dengan masing-masing 300mAh dan 425mAh.

Galaxy Watch Ultra

Dalam pada masa yang sama, Galaxy Watch Ultra turut diperkenalkan sebagai pilihan yang lebih lasak bagi anda yang meminati aktiviti kegiatan luar. Paparannya bersaiz 1.5-inci atau 47mm dan menggunakan panel AMOLED bersama-sama kristal nilam (sapphire).

Ia juga mempunyai tahap kecerahan puncak 3,000 nits dan Night Mode automatik. Quick Button baharu turut diperkenalkan bagi membolehkan anda mengubahsuai fungsi-fungsinya untuk senaman dan juga pengaktifan siren kecemasan.

Jam tangan pintar ini juga diperkuatkan ketahanannya dengan Titanium Grade 4 dengan meningkatkan kerintangan air sehingga 10ATM dan juga penarafan kelasakan IP68 dan MIL-STD-810H. Selain itu, Galaxy Watch Ultra juga dikatakan mampu dikendalikan pada kedalaman laut sekitar 500 meter dan juga di tempat berketinggian sehingga 9,000 meter.

Harga Galaxy Watch 7 dan Galaxy Watch Ultra di Malaysia

Kedua-dua Galaxy Watch 7 dan Galaxy Watch Ultra kini sedia dibuka untuk pra-tempahan bermula dari hari ini dan mula hadir ke pasaran pada 24 Julai 2024. Varian 40mm Watch 7 dijual pada harga bermula dari RM1,199 untuk model asas dan RM1,499 untuk model selular. Manakala untuk varian 44mm yang lebih besar saiznya pula dijual pada harga RM1,299 dan RM1,599 untuk model selular. Untuk Galaxy Watch Ultra pula, harga jualannya di pasaran adalah RM3,399.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.