Sekali lagi, pentiris maklumat popular di X (dahulu dikenali sebagai Twitter) Steve Hemmerstoffer (juga dikenali sebagai OnLeaks) telah memperlihatkan imej pengolokan telefon pintar mercu keluaran tahun hadapan Samsung. Imej yang dikongsikan tersebut didakwa sebagai model standard Galaxy S24 yang dikatakan akan dilancarkan pada tahun depan.
Sekali pandang, model yang dikatakan keluaran tahun hadapan ini tidak banyak bezanya jika dibandingkan dengan Galaxy S23 yang dilancarkan pada tahun ini. Beberapa perbezaan yang didapati menerusi imej pengolokan ini termasuklah bingkai yang lebih rata serta garis jalur pada sisi kanan telefon pintar tersebut.
Menurut Hemmerstoffer di laman Smartprix, jalur tersebut adalah antena Ultra-Wideband. Ia juga dikatakan mungkin akan digunakan pada semua siri Galaxy S24 kelak. Lain-lain perbezaan yang dikenalpasti pada imej pengolokan tersebut meliputi bingkai yang lebih nipis di sekeliling paparannya yang rata.
Skrin yang mungkin sedikit besar
Sungguhpun Galaxy S24 standard kelihatan sama seperti model keluaran tahun ini, seorang lagi pentiris maklumat Ice Universe. Beliau mendakwa telefon pintar berkenaan akan menampilkan skrin yang sedikit besar pada ukuran 6.2-inci. Ia juga akan mempunyai resolusi FHD+ selain mempunyai tahap kecerahan maksima 2500 nits. Dalam pada masa yang sama, OnLeak pula menyatakan skrin tersebut akan menampilkan panel LTPO AMOLED Dynamic M13. Skrin berkenaan juga akan mempunyai kadar penyegaran semula skrin 120Hz.
Selain itu, telefon pintar Samsung keluaran tahun hadapan ini juga dikatakan akan hadir dengan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3 atau Exynos 2400 mengikut di mana ia akan dipasarkan kelak. Ia juga akan mempunyai pilihan storan sehingga 512GB, RAM sehingga 12GB dan kamera hadapan 12MP. Untuk kamera belakangnya pula, Galaxy S24 dikatakan akan mempunyai kamera utama 50MP, kamera ultra lebar 12MP dan kamera telefoto 10MP dengan zum optikal 3x.
Bagaimanapun, untuk maklumat berkaitan bateri, kedua-dua sumber yang tertiris tersebut mempunyai maklumat yang bercanggah. OnLeaks mendakwa model tersebut akan mempunyai kapasiti bateri 4,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 45W. Manakala Ice Universe pula yakin tahap pengecasannya kelak mungkin masih lagi sama dengan model keluaran tahun ini iaitu 25W.
Apa pun kita tunggu dan lihat pengumuman rasmi dari pihak Samsung. Sebelum ini terdapat desas-desus yang mengatakan Galaxy S24 akan diumumkan sekitar pertengahan Januari tahun hadapan.