Selepas rekaan Galaxy S23 dan S23 Plus yang dilaporkan tertiris semalam, Steve Hemmerstoffer (aka OnLeaks) turut berkongsikan rekaan Galaxy S23 Ultra yang tertiris. Sekali pandang, rekabentuk kelihatan tidak jauh bezanya dengan Galaxy S22 Ultra.

Jika benar rekaan tersebut hadir pada Galaxy S23 Ultra pada tahun hadapan, kemungkinan besar Samsung masih mengekalkan penawaran S-Pen pada model tersebut. Boleh jadi, Samsung menumpukan lebih perhatian pada perkakasan dalamannya berbanding rekaan pada siri yang akan datang.

Tapi, mungkin juga ia berlaku sebaliknya kerana adakalanya Hemmerstoffer pernah tersilap dalam berkongsikan maklumat awalnya berkenaan peranti-peranti yang dirancang untuk dikeluarkan.

Menurut Hemmerstoffer, Galaxy S23 Ultra kelak mungkin hadir dengan paparan 6.8-inci, sama seperti Galaxy S22 Ultra. Turut jelas kelihatan pada imej pengolokan tersebut paparan melengkung berpenebuk lubang untuk menempatkan kamera hadapannya. Peranti ini juga dilihat mungkin menawarkan S-Pen berintegrasi, pembesar suara, port USB-C dan dulang kad SIM.

Galaxy S23 Ultra juga dijangka berukuran 163.4 x 78.1 x 8.8 mm. Sebagai perbandingan, peranti yang akan datang ini mungkin besar sedikit berbanding model sebelumnya. Sungguhpun rekaannya kelihatan mirip dengan model tahun ini, ia dibezakan pada rekaan yang sedikit kurang melengkung.samsung-galaxy-s23-ultra-rekaan tertiris-2

Sama seperti maklumat tertiris sebelumnya, Hemmerstoffer tidak berkongsikan maklumat mengenai spesifikasinya. Kebanyakan desas-desus mengenai Galaxy S23 Ultra pada ketika ini menjangkakan penggunaan Snapdragon 8 Gen 2 sebagai pemprosesannya. Kuasa pengecasannya pula dikatakan menawarkan sehingga 25W sahaja berbanding Galaxy S22 Ultra yang menyokong sehingga 45W.

Ice Universe pula mendakwa Galaxy S23 Ultra bakal menjadi telefon pintar Samsung pertama yang menggunakan sensor kamera ISOCELL HP1 200MP.

Samsung Galaxy S23 Ultra dijangka akan dilancarkan bersama-sama Galaxy S23 dan Galaxy S23 Plus sekitar awal 2023. Menurut OnLeaks, acara Samsung Unpacked 2023 dijangka akan diadakan pada bulan Januari atau Februari tahun hadapan.

Tinggalkan komentar