Bersempena pelancaran Flip dan Fold generasi keenam, Samsung turut memperkenalkan siri earbuds nirwayar Galaxy Buds baharunya. Untuk generasi ini, Samsung telah memperkenalkan dua variannya yang terdiri daripada model standard dan Pro.
Berbeza dengan model-model sebelumnya, rekaan kali ini menampilkan reka bentuk bertangkai berbanding bentuk bebola. Malah bekas penyimpanannya juga tampil berbeza dengan bentuk yang mirip dengan AirPods dari Apple. Pun begitu, dari segi spesifikasinya earbuds terkini keluaran Samsung ini menampilkan Adaptive EQ dan juga ANC.
Buds 3 dan Buds 3 Pro dibezakan dengan jenis pemacunya. Untuk Buds 3, ia menggunakan pemacu Dinamik 11mm 1-hala untuk Buds 3. Manakala untuk Buds 3 Pro pula ia menggunakan Pemacu Dinamik 10.5mm dan Planar 6.1mm Dipertingkatkan 2-hala untuk bagi menghasilkan audio Kualiti Ultra Tinggi.
Dari segi jangka hayat bateri, Samsung menyatakan Buds 3 mampu digunakan selama lima jam untuk sekali cas jika ANC diaktifkan dan enam jam jika ANC tersebut dimatikan. Bekas pengecasannya pula mampu menambahkan tempoh masa penggunaannya sehingga 30 jam.
Untuk Buds 3 Pro pula, earbuds ini mampu digunakan selama enam jam dengan ANC dihidupkan dan tujuh jam jika dimatikan. Bersama-sama bekas pengecasannya, ia boleh digunakan untuk tempoh selama 26 hingga 30 jam, bergantung sejauh mana tempoh anda menggunakannya dengan ANC. Selain itu, ketersambungannya dilakukan secara Bluetooth 5.4 dan menggunakan codec buatannya sendiri Samsung Scalable Codec.
Samsung Malaysia kini menerima pra-tempahan siri Galaxy Buds 3 bermula dari sekarang sehingga 30 Julai. Harganya bermula dari RM599 untuk Galaxy Buds 3 dan RM999 untuk Galaxy Buds 3 Pro. Kedua-duanya boleh didapati dengan pilihan warna Grey atau White.
Pratempahan siri Galaxy Buds 3 ini juga ditawarkan dengan Buds Case percuma bernilai RM169 selagi stok masih ada dengan reka bentuk yang ditawarkan bergantung dengan ketersediaannya.