Selepas segala macam desas-desus timbul berkenaan Galaxy A7, Samsung akhirnya secara rasmi telah mendedahkan Galaxy A7 versi tahun 2018. Apa yang diperkatakan sebelum ini nampaknya menjadi kenyataan apabila telefon pintar ini benar-benar hadir dengan tiga lensa pada kamera utamanya.
Berdasarkan lembaran spesifikasi yang dikongsikan oleh pihak Samsung, tetapan tiga kamera ini mengandungi lensa utama 24MP f/1.7 bersama-sama lensa 8MP f/2.4 120 darjah dan lensa 5MP berkedalaman f/2.2. Ketiga-tiga lensa ini disusun dalam bentuk selajur.
Melalui kehadiran lensa kedalaman, Samsung mengesahkan Galaxy A7 menyediakan fungsi pelarasan kesan khas ‘bokeh’. Selain itu, pihak Samsung juga turut menjelaskan lensa 24MP kamera utama telefon pintar berkenaan didatangkan dengan ‘automated oversampling’ untuk kegunaan fotografi dalam keadaan kurang pencahayaan.
Telefon pintar ini juga turut menyediakan kamera swafoto 24MP bersama-sama flash. Sepertimana telefon-telefon pintar masa kini, kamera swafoto berkenaan turut diperkemaskan dengan kesan khas bokeh melalui fungsi Selfie Focus bersama-sama Pro Lighting Mode yang membantu mengawal kesan pencahayaan.
Dikuasakan oleh pemprosesan 2.2GHz octa-core, Galaxy A7 turut hadir dengan paparan 6-inci Full HD+ Super AMOLED. Juga dengan bateri 3300mAh dan sokongan Dolby Atmos. Telefon pintar ini juga turut didatangkan pilihan variasi sehingga RAM 6GB dan storan dalaman 128GB bergantung dengan rantau mana ianya dipasarkan.
Setakat ini pihak Samsung tidak menyatakan harga bagi telefon pintar berkenaan dan dijangkakan bakal dilancarkan bagi pasaran rantau Eropah dan Asia sekitar tahun ini juga.
Sumber berita diperoleh dari Samsung.













