Samsung Malaysia sebelum ini telah memperkenalkan siri Galaxy A bagi tahun ini melalui Galaxy A33 5G, Galaxy A53 5G dan Galaxy A73 5G. Pra-tempahan bagi ketiga-tiga model baharu ini juga telah pun dilancarkan awal minggu ini.
Selain dari itu, siri Galaxy A turut hadir memperkenalkan dua lagi model telefon pintar bajetnya, Galaxy A13 dan Galaxy A23 ke pasaran Malaysia.
Berbeza dengan trio siri Galaxy A baharu tahun 2022 yang diperkenalkan sebelum ini, Galaxy A13 dan Galaxy A23 buat masa ini hanya menawarkan model rangkaian 4G sahaja.
Dari segi reka bentuk luaran, Galaxy A13 mirip dengan rekaan siri Galaxy A pada tahun lepas. Manakala rekaan Galaxy A23 pula mempunyai rekaan modul kamera berbonggol, mirip trio siri Galaxy A tahun ini.
Pada bahagian hadapan pula, kedua-duanya menawarkan paparan Full HD TFT 6.6-inci dan ini membuatkan tiada perbezaan di antara Galaxy A23 dengan Galaxy A13. Selain rekaan paparan, kedua-dua telefon pintar ini turut menawarkan spesifikasi RAM dan storan yang sama iaitu masing-masing 6GB dan 128GB.
Beza spesifikasi Samsung Galaxy A23 dan Samsung Galaxy A13
Bukan itu sahaja, kamera belakang bagi kedua-duanya juga tampil sama melalui kamera utama 50MP f/1.8, kamera ultra lebar 5MP f/2.2, makro 2MP f/2.4 dan kamera berkedalaman 2MP f/2.4. Begitu juga dengan kamera hadapannya yang sama melalui kamera 8MP dan kapasiti baterinya, 5,000mAh.
Cuma bezanya, kamera Galaxy A23 didatangkan dengan sistem Penstabil Imej Optikal (OIS) dan sistem ini tidak terdapat pada Galaxy A13. Selain itu, sokongan pengecasan Galaxy A13 hanya terhad pada 15W, manakala Galaxy A23 pula mampu menyokong kuasa pengecasan sehingga 25W.
Perbezaan ini turut melibatkan pada jenis pemprosesan yang digunakan oleh kedua-duanya. Samsung Galaxy A23 4G dikatakan menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 680.
Untuk Samsung Galaxy A13 4G pula, telefon pintar ini menggunakan pemprosesan keluaran Samsung sendiri iatu Exynos 850.
Harga Samsung Galaxy A23 dan Galaxy A13 di Malaysia
Anda boleh mendapatkan Samsung Galaxy A23 pada harga RM999 dengan Samsung Galaxy A13 pula berharga RM799. Buat masa ini, hanya Galaxy A23 boleh dibeli secara terus dari kedai dalam talian Samsung Malaysia.
- Harga Samsung Galaxy A23 (6GB + 128GB) – RM999
- Harga Samsung Galaxy A13 (6GB + 128GB) – RM799
Selain boleh membuat pembelian dalam talian, anda boleh juga mendapatkan kedua-dua model ini melalui kedai-kedai jualan fizikal yang sah di seluruh negara.
Galaxy A13 dan Galaxy A23 di U Mobile
Anda juga boleh mendapatkannya dari U Mobile dengan U SaveMore melalui pelan U Postpaid 68 atau 98 atau dengan U PayLater dengan U Postpaid 98 pada harga dari RM59 untuk Galaxy A13 dan RM249 untuk Galaxy A23.