Samsung baru sahaja sebentar tadi mengumumkan telefon pintar peringkat menengah terbarunya, siri Galaxy A. Hadir dengan tiga model baharu, Galaxy A73, Galaxy A53 dan Galaxy A33, kesemua telefon pintar ini menampilkan falsafah rekaan terbaru Samsung, ‘Ambient Edge’. Ia menawarkan peningkatan pada rupa luarannya yang lebih cantik berbanding rekaan Galaxy A sebelum ini.
Kesemua model ini Galaxy A ini mempunyai kerintangan air dan debu IP67, bateri 5,000mAh dengan pengecasan pantas 25W, kamera utama OIS dan kadar penyegaran semula skrin yang tinggi sehingga 120Hz.
Tiada bicu audio 3.5mm disediakan untuk ketiga-tiga model Galaxy A terbaru ini. Berbeza dengan keluaran siri terdahulu, siri Galaxy A pada tahun ini tidak didatangkan bersama-sama pengecas di dalam kotaknya.
Spesifikasi Samsung Galaxy A73
Selaku ‘Abang Long’ dikalangan siri Galaxy A terbaru ini, Galaxy A73 mempunyai skrin yang agak besar iaitu pada 6.7-inci dengan paparan Super AMOLED FHD+ Infinity-O. Melalui kadar penyegaran semula sehingga 120Hz pada paparannya, telefon ini diperkuatkan dengan lapisan Corning Gorilla Glass 5, peningkatan dari generasi sebelumnya yang menggunakan Gorilla Glass 3.
Disebalik telefon ini, terdapat pemprosesan Qualcomm Snapdragon 778G yang dipadankan dengan RAM 8GB dan storan sehingga 256GB. Cipset jenis ini merupakan jenis yang sama digunakan pada Galaxy A52s.
Terdapat satu slot kad mikroSD yang menyokong sehingga 1TB turut disediakan pada telefon pintar ini. Untuk antaramukanya, Galaxy A73 5G menggunakan One UI 4.1 yang berasaskan Android 12.
Samsung menyatakan kesediaannya untuk memberikan sehingga tiga kemaskini sistem operasi utama dan sehingga empat tahun kemaskini keselamatan. Sokongan ini turut ditawarakn pada kesemua peranti Galaxy A yang baharu dilancarkan ini.
Untuk kameranya, Galaxy A73 menawarkan empat kamera dengan kamera utamanya mempunyai sensor 108MP dengan penstabil imej optikal (OIS). Turut digandingkan dengan kamera utama berkenaan adalah kamera ultralebar 12MP, kamera makro 5MP dan kamera potret 5MP. Kamera hadapan bagi telefon ini pula adalah sebuah kamera 32MP yang ditempatkan pada paparan berpenebuk lubangnya.
Melengkapkan spesifikasinya, telefon ini hadir dengan bateri 5,000mAh dan sokongan pengecasan pantas 25W. Terdapat sepasang pembesar suara stereo dan juga sokongan cap jari terbina dalam paparan Samsung Galaxy A73 ini. Lain-lain ciri sokongan yang disediakan olehnya termasuklah 5G, NFC, WiFi 6 dan Bluetooth 5.0.
Lima pilihan warna dengan rona pastel disediakan bagi telefon pintar ini iaitu Hitam, Putih, Biru dan Peach dan Mint.
Spesifikasi Samsung Galaxy A53 5G
Paparan yang ditawarkan oleh telefon pintar ini tidak jauh beza cirinya dengan Galaxy A73. Selain dari saiznya yang kecil sedikit iaitu pada 6.5-inci, paparannya ini menawarkan Super AMOLED FHD+ Infinity-O dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan lapisan Corning Gorilla Glass 5.
Apa yang menarik dengan Galaxy A53 ini adalah penggunaan cipset terbaru di dalam keluarga Exynos iaitu Exynos 1280. Cipset peringkat menengah ini dilengkapkan dengan dua teras berprestasi tinggi Cortex-A78 dan enam teras berkecekapan tinggi Cortex-A55.
Telefon ini turut hadir dengan memori 8GB dan storain sehingga 258GB. Ia juga menawarkan pilihan penambahan ruang storan melalui slot kad mikroSD. Sama seperti A73, telefon ini juga menggunakan One UI 4.1 yang berasaskan Android 12.
Kamera belakangnya juga mengandugi tetapan kuad kamera, cuma terdapat pengurangan dari segi bilangan piksel kamera utamanya iaitu pada 64MP, namun masih mempunyai OIS. Lain-lain kamera masih lagi sama seperti A73 iaitu kamera ultra-lebar 12MP, kamera makro 5MP dan kamera potret 5MP. Begitu juga dengan kamera hadapannya yang menawarkan kamera 32MP.
Baterinya juga berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan pantas 25W. Seperti juga dengan ‘Abang Long’ telefon ini, ia turut menawarkan sokongan pengimbas cap jari terbina dalam skrin, sokongan 5G, NFC, WiFi 5 dan Bluetooth 5.1, serta penarafan IP67 bagi kerintangan air dan debu. Untuk pilihan warnanya, ia masih sama iaitu Hitam, Putih, Biru dan Peach dan Mint.
Spesifikasi Samsung Galaxy A33 5G
Selaku model peringkat pemula bagi siri ini, spesifikasi Galaxy A33 5G ini adalah paling rendah penawarannya jika dibandingkan dengan dua model lain yang dilancarkan bersama-sama dengannya.
Namun, ia tidaklah terlalu rendah tanpa sebarang penambahbaikan dari model keluarannya sebelum ini, Galaxy A32 5G. Untuk kali ini, model ini hadir dengan paparan Super AMOLED Full HD+ 6.4-inci Infinity-U bersama-sama kadar penyegaran semula sehingga 90Hz. Kadar kecerahannya pula masih sama dengan model-model lain di dalam siri ini iaitu 800 nits.
Sama seperti Galaxy A53 5G, model ini turut menggunakan cipset Samsung Exynos 1280. Cuma untuk kapasiti RAM, telefon ini hanya menawarkan 6GB dengan storan dalaman 128GB.
Kameranya pula kurang bilangan piksel berbanding Galaxy A53 dan Galaxy A73 iaitu 48MP untuk kamera utama, serta 8MP untuk kamera ultra-lebar dan 2MP untuk kamera potret. Kamera makronya pula bagaimanapun menggunakan 5MP.
Lain-lain ciri adalah sama seperti siri Galaxy A baharu yang lain. Antaranya bateri 5,000mAh dengan pengecasan pantas 25W dan juga sokongan pengimbas cap jari terbina dalam skrin, sokongan 5G, NFC, WiFi 5 serta Bluetooth 5.1. Ia juga mempunyai penarafan IP67 bagi kerintangan air dan debu. Untuk pilihan warnanya, ia masih sama iaitu Hitam, Putih, Biru dan Peach dan Mint.
Harga Samsung Galaxy A33 5G, Galaxy A53 5G, dan Galaxy A73 5G di Malaysia
Harga jualan bagi ketiga-tiga siri Galaxy A baharu ini di Malaysia adalah seperti berikut:
- Samsung Galaxy A33, 8GB RAM, 128GB storage – RM1,499
- Samsung Galaxy A53, 8GB RAM, 256GB storage – RM1,849
- Samsung Galaxy A73, 8GB RAM, 256GB storage – RM2,099
Harga yang dinyatakan pada tahun ini dilihat agak tinggi jika dibandingkan dengan harga model siri Galaxy A keluaran tahun lalu. Namun, mengambil kira pelbagai penambahbaikan yang disertakan seperti penarafan IP67, kamera dengan OIS, kapasiti bateri sehingga 5,000mAh dan sebagainya, harga yang ditawarkan ini boleh dianggap sebagai berbaloi.