Sepanjang tahun 2022 ini, Samsung telah mengemaskini sebilangan siri Galaxy A dengan model-model baharu seperti Galaxy A73, Galaxy A53, Galaxy A33 dan juga kategori peringkat pemula seperti Galaxy A13.
Secara peribadi, saya melihat telefon ini kelihatan cantik dari segi rekabentuknya dengan tetapan tri-kameranya tidak terlalu membonjol. Kemasan plastik berkilat dengan pilihan warna hitam, putih dan biru mungkin menarik peminat seni minimalis.
Ia juga memiliki skrin besar yang berkualiti, bateri berkapasiti besar dan juga ruang storan yang boleh diperluaskan.
Ciri dan rekabentuk
Sebagaimana yang dijangkakan dari telefon pintar bajet, permukaan luarannya diperbuat daripada plastik dengan kemasan berkilat. Kemasan begini mudah meninggalkan kesan cap jari dan anda mungkin perlu memasangkan casing untuk mengelakkannya.
Pada berat hampir 200g, Galaxy A13 boleh dikirakan agak berat bagi sebuah telefon pintar plastik. Namun, ini turut disebabkan oleh saiznya yang agak lebar dengan ukuran 165 x 76 x 8.8mm.
Menariknya, telefon pintar ini menyediakan bicu audio 3.5mm, sesuatu yang kian jarang diketemukan pada telefon pintar keluaran baharu akhir-akhir ini.
Sungguhpun anda boleh menggunakan fon telinga berwayar untuk menikmati audio dari telefon ini, Galaxy A13 turut menyediakan sokongan sambungan fon telinga nirwayar secara Bluetooth. Ini dapat membantu menikmati muzik dengan lebih baik kerana pembesar suara mono yang disediakan oleh Galaxy A13 agak kurang dari segi julat bassnya.
Di antara pembesar suara dan bicu audio tadi, terdapat satu port USB-C untuk tujuan pengecasan dan pemindahan data. Di bahagian sisi kanan telefon ini disediakan butang kawalan audio dan juga butang kuasa yang turut berperanan sebagai pengimbas cap jari.
Selain imbasan cap jari, anda juga boleh menggunakan fungsi imbasan wajah bagi menyahkunci melalui kaedah biometrik. Manakala pada sisi kirinya pula terdapat slot menempatkan dulang dwi kad mikro-SIM dan dan satu kad mikroSD.
Paparan telefon pintar ini hadir dengan bingkai yang agak tebal di sekeliling skrinnya. Pada sbeelah atas pula terdapat takuk berbentuk corak titisan air yang menempatkan sebuah kamera hadapan.
Paparan Samsung Galaxy A13
Dilindungi oleh kaca Gorilla Glass 5, skrin Galaxy A13 boleh dianggap bagus berdasarkan harga yang ditawarkannya. Bagaimanapun, paparan yang digunakan olehnya bukanlah dari jenis AMOLED seperti lazimnya didapati pada kebanyakan telefon pintar keluaran Samsung.
Skinnya mampu memberikan paparan yang baik dan jelas dengan warnanya juga kelihatan agak hidup jika ditonton pada sudut yang tepat. Malahan, resolusi yang ditawarkan juga lebih baik berbanding kebanyakan telefon pintar yang setara dengan harganya walaupun hanya menawarkan kadar penyegaran semula 60Hz. Cuma, kualiti paparannya tidak begitu baik jika menonton pada sudut berlainan.
Spesifikasi dan Prestasi
Galaxy A13 menggunakan cipset keluaran Samsung sendiri iaitu Exynos 850. Berdasarkan pengujian pemprosesan berbilang teras yang dibuat menggunakan aplikasi Geekbench 5, didapati telefon pintar ini hanya mencapai markah sekadar 585 sahaja.
Tidak hairanlah sepanjang tempoh menggunakan telefon pintar ini saya mendapati prestasinya begitu hambar. Aplikasi-aplikasi mengambil masa yang agak lama untuk dibuka dengan pengoperasiannya sistem juga kadang kala tersangkut. Malah menatal suapan-suapan di dalam media sosial juga dirasakan tidak begitu lancar.
Untuk ulasan ini, kami telah menerima Galaxy A13 dengan RAM 3GB dan storan 32GB. Anda boleh memperluaskan storannya melalui slot kad mikroSD yang mampu menampung sehingga 1TB. Menariknya, telefon pintar ini menyediakan ruangan tambahan untuk SIM kedua dan juga kad mikroSD, sesuatu yang kian jarang ditawarkan pada telefon pintar kebelakangan ini.
Bateri dan pengecasan
Ketahanan bateri adalah antara yang sesuatu yang wajar dipuji kerana sepanjang penggunaanya saya mendapati dalam kebanyakan masa kapasitinya mampu bertahan sehingga hampir satu hari.
Unit ulasan ini tidak disertakan bersama-sama pengecasnya dan saya menggunakan pengecas Samsung 25W PD Adapter. Berdasarkan maklumat spesifikasi rasminya, telefon ini hanya mampu menerima pengecasan pantas sehingga 15W sahaja. Oleh itu, tempoh mengecasnya dari paras sifar hingga penuh mengambil masa hampir 2 jam.
Kamera dan video
Sungguhpun telefon pintar ini dikategorikan sebagai telefon pintar bajet, kamera-kamera yang disediakan olehnya adalah sesuatu yang wajar diketengahkan. Terdapat empat kamera pada bahagian belakangnya dengan satu kamera 8MP pada bahagian hadapannya.
Contoh foto menggunakan kamera Samsung Galaxy A13
Kamera belakangnya mengandungi satu kamera 50MP yang bertindak selaku kamera utamanya. Ia berkeupayaan mengambil foto dengan jelas dan cantik untuk pelbagai keadaan kecuali dalam keadaan kurang pencahayaan dan subjek yang ligat bergerak seperti kanak-kanak atau haiwan peliharaan. Hal ini kerana kamera tersebut tidak disertakan dengan sistem penstabilan imej optikal (OIS).
Manakala tiga buah kamera lagi iaitu ultra-lebar 5MP, kamera berkedalaman 2MP dan kamera makro 2MP yang disediakan pula boleh dianggap sebagai tempelan bagi menyokong fungsi kamera utamanya.
Keupayaan rakaman videonya pula terhad sehingga Full HD dengan kadar bingkai 30fps. Ia masih lagi mampu merakamkan video dengan baik. Namun, memandangkan ketiadaan OIS, anda perlu memastikan rakaman yang dibuat kurang bergoyang.
Perisian dan Kemaskini
Galaxy A13 didatangkan bersama-sama antaramuka Samsung OneUI 4.1 yang berasaskan Android 12. Ia merupakan antaramuka yang baik kerana sifat mesra penggunannya dan antaramuka yang kemas.
Telefon ini tidak disertakan dengan manfaat kemaskini lanjutan oleh Samsung yang menyediakan sehingga empat versi Android yang berikutnya. Namun ia dijangka akan menerima sehingga dua kemaskini versi Android iaitu Android 13 dan 14 bersama-sama kemaskini keselamatan empat tahun.
Harga Samsung Galaxy A13 di Malaysia
Laman web rasmi Samsung Malaysia buat masa ini menawarkan Samsung Galaxy A13 varian RAM 6GB dan storan 128GB sahaja pada harga RM799. Varian ini adalah lebih baik dari varian unit yang kami ulas ini kerana bilangan RAM yang lebih tinggi.
Kesimpulan
Samsung Galaxy A13 merupakan telefon pintar yang khusus buat peminat Samsung yang inginkan telefon pintar bajet dengan kamera yang bagus. Pun begitu prestasi pemprosesannya, Exynos 850 sedikit mengecewakan kerana tidak begitu memberangsangkan dalam pengoperasiannya.
Diharapkan prestasinya kelak dapat dibaiki dengan pengoptimasian sistem operasi melalui kemaskini.