Utama Android Honor Ulasan HONOR X9a 5G; Telefon peringkat menengah dengan Rupa Premium

Ulasan HONOR X9a 5G; Telefon peringkat menengah dengan Rupa Premium

Telefon pintar peringkat menengah keluaran HONOR ini, X9a 5G hadir ke pasaran Malaysia tidak lama selepas kita menyambut tahun 2023.

1549
0
HONOR X9a 5G Malaysia Review 3

HONOR X9a 5G merupakan telefon peringkat menengah terkini keluaran HONOR yang baru sahaja memasuki pasaran Malaysia. Ia dilengkapkan dengan cipset Snapdragon 695 5G, skrin OLED besar dan melengkung 6.67-inci, RAM 8GB dan storan 256GB.

Itu sedikit sebanyak gambaran mengenai spesifikasinya secara ringkas. Berikut adalah perincian tentang spesifikasi telefon pintar terkini keluaran HONOR ini:

Spesifikasi HONOR X9a 5G

ModelHonor X9a 5G
Ukuran161.6 x 73.9 x 7.9 mm
Berat175g
Pemprosesan
  • Qualcomm Snapdragon 695 5G
  • 2.2Ghz Cortex-A78 x 2 + 1.8Ghz Cortex-A55 x 6
  • Qualcomm Adreno 619
RAM8GB (boleh ditambah secara maya, VRAM sehingga 5GB)
Storan256GB
Skrin
  • Paparan melengkung OLED 6.67-inci
  • Warna 1.07 billion, 100% DCI-P3
  • Kadar penyegaran 120Hz
  • 2400 x 1080 piksel
  • Kecerahan puncak 800 nits
Kamera (Depan)16MP, f/2.45
Kamera (Belakang)
  • Kamera utama 64MP, f/1.8
  • Kamera ultra lebar 5MP, f/2.2
  • Kamera makro 2MP, f/2.4
Sistem operasiAndroid 12, Magic UI 6.1
Bateri dan pengecasan
  • Bateri 5,100 mAh
  • Honor Supercharge 40W
Ketersambungan
  • WiFi 802.11 a/b/g/n/ac, 2.4G/ 5G
  • Bluetooth 5.1
  • USB-Type C
Keselamatan Biometrik
  • Pengimbas cap jari terbina dalam skrin
  • Pengecaman wajah

Rekabentuk

HONOR X9a 5G hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Titanium Silver, Emerald Green and Midnight Black. Unit ulasan yang kami terima untuk kali ini berwarna Emerald Green yang menampilkan warna hijau metalik pada permukaan belakangnya dengan kemasan matte. Oleh kerana skrinnya yang melengkung, anda mungkin dapat merasakan telefon ini lebih nipis apabila dipegang.

Pada bawah telefon pintar ini disediakan dulang kad SIM, port USB-C dan satu pembesar suara. Sisi sebelah kanannya pula mempunyai butang kuasa dan juga kawalan volum bunyi seperti kebiasaan telefon pintar HONOR.

Kamera Matrix AI Vision pada bahagian belakangnya pula disusun dalam bentuk bulatan yang berbonggol. Bonggol kamera ini bagaimanapun tidak begitu menjadi isu kerana anda boleh mengimbangkannya dengan selongsong (cover) yang didatangkan bersama-sama telefon pintar ini.

Secara keseluruhannya, HONOR X9a 5G kelihatan premium dengan ciri estetika skrin melengkung dan juga kemasan metalik.

Skrin

HONOR X9a 5G dilengkapkan dengan skrin melengkung OLED 6.67-inci yang mampu memaparkan 1.07 billion warna pada gamut warna 100% DCI-P3. Ia mempunyai resolusi 2400 x 1080 piksel dan kadar penyegaran semula 120Hz.

Skrin telefon pintar yang mempunyai nisbah skrin-ke-kerangka 93% ini juga mempunyai persijilan Pencahayaan Biru Rendah TUV Rheinland. Justeru, sedikit sebanyak dapat memberikan keselesaan pada mata anda apabila digunakan dalam tempoh yang lama.HONOR X9a 5G Malaysia Review 7 (1)

Visual yang dipaparkan oleh skrinnya ini juga kelihatan terperinci dengan warnanya pula terang. Boleh dikatakan, skrin ini antara yang terbaik pernah kami lihat di antara telefon-telefon pintar peringkat menengah.

Paparan di bawah sinaran mentari juga dikira mencukupi dengan kadar kecerahan maksimanya 800 nits. Pengendalian atas skrinnya juga dirasakan amat responsif dan tuntas. Lagipun, antaramuka Magic UI yang amat bergantung pada kawalan gestur menjadikan fungsi sedemikian wajar diberikan keutamaan.

Prestasi

Selaku telefon pintar peringkat menengah keluaran tahun 2023, HONOR X9a 5G mampu mengendalikan hampir segala jenis aplikasi yang ada pada ketika ini.

Melalui penggunaan pemprosesan Snapdragon 695 5G dan RAM 8GB, ia dikira lebih dari memadai bagi penggunaan secara kasual. Tambahan pula, melalui kadar penyegaran semula skrin 120Hz, kami dapati tiada sebarang senggukan (lag) atau sentakan ketika beralih-alih dari aplikasi ke aplikasi yang lain.

GPU Adreno 619 yang digunakannya juga menyediakan prestasi yang baik dan mampu memainkan hampir kesemua jenis permainan mudah alih popular seperti Mobile Legends dan PUBG Mobile. Pun begitu, untuk permainan Genshin Impact pula kadangkala berlaku sedikit tersengguk sungguhpun dimainkan pada tetapan grafik rendah.

Kualiti audionya pula sederhana sahaja sungguhpun lantang dan jelas kerana mempunyai satu sahaja pembesar suara di bahagian bawahnya. Tiada bicu audio 3.5mm disediakan pada telefon pintar ini, namun HONOR bermurah hati menyediakan satu DAC USB-C to 3.5mm dan fon telinga berwayar untuk anda menikmati audio yang lebih enak didengar dan lebih privasi.

Kamera

HONOR X9a 5G menampilkan tri-kamera dengan satu kamera utama 64MP, kamera ultra-lebar 5MP dan kamera makro 2MP. Dalam keadaan pencahayaan yang baik, kamera utamanya mampu memberikan imej yang jelas dan jitu dengan warna yang kelihatan semula jadi.

Dalam keadaan gelap atau kurang pencahayaan pula, isu hingar di dalam imej akan timbul. Oleh itu, anda mungkin boleh menggunakan Night Mode untuk mendapatkan imej yang lebih jelas dengan bukaan yang lebih baik.

Untuk AI Mode pula, anda mungkin berasa sedikit lama untuk melihat foto yang ditangkap kerana ia perlu diproses terlebih dahulu. Hasilnya pula bergantung pada keadaan kerana ada ketikanya imej yang dihasilkannya kelihatan sedikit ‘terlebih tajam’.

Kamera ultra-lebar dan makro pula disediakan bagi melengkapkan ciri fotografi telefon pintar ini dan ia boleh digunakan dengan baik dalam keadaan tertentu. Pun begitu, kamera utamanya lebih dari memadai bagi kegunaan harian.

Bateri

Hayat penggunaan bateri HONOR X9a 5G boleh dikirakan amat mantap dan mampu bertahan lebih dari sehari bagi penggunaan sederhana. Ia boleh lajak sampai ke dua hari jika anda merupakan seorang yang amat berjimat cermat menggunakan tenaga telefon pintar dengan mematikan GPS, Bluetooth dan sebagainya selain mengaktifkan mod penjimatan bateri.

Jika bateri habis pun anda tidak perlu bimbang kerana pengecas 40W yang disertakan bersama-sama di dalam kotak pembungkusannya ini mampu mengecaskan dari kosong hingga penuh dalam tempoh lebih kurang sejam.

Harga HONOR X9a 5G di Malaysia

Pada harga RM1,499, HONOR X9a 5G boleh dinilai sebagai telefon pintar yang mempunyai bentuk yang cantik sepadan dengan skrin OLED melengkungnya yang tahan lasak.

Sungguhpun pemprosesan Qualcomm Snapdragon 695 5G yang digunakannya bukanlah yang terpantas di pasaran pada ketika ini, ia mampu memberikan prestasi yang memuaskan bagi kebanyakan pengguna.

Secara keseluruhannya, jika anda inginkan telefon pintar yang mampu mengendalikan tugas-tugas harian anda seperti media sosial, menstrimkan video, dan sekali-sekala bermain permainan, HONOR X9a 5G patut menjadi calon telefon pintar pilihan anda bagi 2023.

Maklumat lanjut, layari laman web rasmi HONOR Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.