Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah mengumumkan cukai jualan terhadap barangan bernilai rendah (LVG) yang diimport kini dikuatkuasakan selepas diluluskan di Parlimen pada Ogos tahun lepas. Sungguhpun tarikh kuatkuasanya pada 1 Januari 2023, cukai tersebut akan mula dikenakan bermula dari 1 April 2023 bagi barangan pesanan dari luar negara.
LVG yang diimport dengan nilai keseluruhan kurang dari RM500 bagi setiap konsainmen tidak dikenakan sebarang cukai jualan sebelum ini. Melalui undang-undang baharu ini, kesemua barangan dari luar negara akan dikenakan dengan cukai jualan pada kadar rata 10%. Pihak Kastam juga kini sedang menumpukan usaha menggalakkan para peniaga berdaftar ke dalam sistem MyLVG.
Peniaga dari luar dan juga peniaga tempatan yang mengimport LVG luar negara dengan nilai jualan keseluruhan melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan perlu berdaftar dengan pihak Kastam bagi membolehkan kutipan cukai dilakukan.
Cukai jualan LVG ini juga hanya melibatkan harga produk terbabit sahaja dan tidak akan dikenakan pada caji penghantaran atau insurans. Pengecualian terhadap levi ini hanya melibatkan rokok, produk tembakau, rokok paip, rokok elektronik, vape, cecair vape bukan nikotin dan arak.
Jika peniaga didapati tidak membayar cukai tersebut, penalti akan dikenakan sekitar 10% hingga 40% bergantung tempoh kelewatan bayaran tersebut dilakukan.
Walaupun levi ini tidak mengenakan cukai pada bayaran penghantaran, satu lagi cukai untuk perkhidmatan penghantaran pada asalnya dijadualkan mula berkuatkuasa pada 1 Januari ini. Bagaimanapun, penguatkuasaannya telah ditangguhkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sehingga ke tarikh baharu yang belum diumumkan.
Peniaga-peniaga yang terlibat dengan aktiviti jualan LVG import boleh mula mendaftar di laman web rasmi Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Tujuan pelaksanaan cukai ini adalah bagi memberikan peluang perniagaan yang lebih adil memandangkan produk-produk tempatan berharga rendah buat masa ini dikenakan cukai jualan sekitar 5% hingga 10%.