HONOR secara rasminya telah melancarkan telefon pintar HONOR X9a 5G di Malaysia hari ini. Untuk model ini, HONOR telah menumpukan pada ciri kelasakan skrinnya.
Ia menampilkan panel melengkung AMOLED Full HD+ 6.67-inci dengan kadar penyegaran 120Hz. Skrin HONOR X9a 5G ini juga turut mempunyai tahap kecerahan puncak 800 nits, pemalapan PWM 1920Hz, liputan warna gamut DCI-P3 100%, dan pengimbas cap jari terbina dalam skrin. Menurut HONOR, kelasakan skrinnya ini juga setara dengan Kunlun Glass yang digunakan pada Huawei Mate50 Pro.
Malah, pengguna juga boleh mendapatkan penggantian skrin secara percuma di HONOR Service Centre jika berlaku kerosakan padanya dalam tempoh 180 hari selepas pembelian.
Dikuasakan oleh pemprosesan Qualcomm Snapdragon 695, model bagi pasaran Malaysia ini didatangkan dengan storan dalaman 256GB. Ia juga mempunyai RAM sebanyak 8GB yang boleh ditingkatkan sehingga 13GB melalui fungsi HONOR RAM Turbo.
Dari segi fotografinya, HONOR X9a 5G menggunakan tri-kamera yang ditempatkan pada bahagian belakangnya. Kamera-kamera tersebut terdiri dari satu kamera utama 64MP f/1.8, kamera bersudut lebar 5MP f/2.2 dan satu kamera makro 2MP f/2.4. Turut disediakan satu kamera 16MP f/2.45 yang ditempatkan pada bahagian hadapannya.
Melalui antaramuka Magic UI 6.1 yang berasaskan Android 12, telefon pintar dengan teknologi rangkaian 5G ini turut menyediakan sokongan Wi-Fi dwi jalur 802.11ac dan Bluetooth 5.1. Sebuah bateri berkapasiti 5,100mAh juga disediakan yang mencukupi untuk kegunaan sehingga dua hari.
Untuk penggunaan secara berterusan, HONOR X9a 5G mampu bertahan sehingga 29 jam untuk YouTube Music, 24 jam untuk video YouTube, 19 jam untuk TikTok dan 11 jam untuk bermain permainan mudah alih. Telefon pintar ini juga didatangkan dengan pengecas HONOR SuperCharge 40W.
Harga HONOR X9a 5G di Malaysia
Di Malaysia, HONOR X9a 5G boleh didapati dengan pilihan warna Titanium Silver, Emerald Green, atau Midnight Black. Untuk harganya, telefon pintar baharu keluaran HONOR ini berharga RM1,499 dan boleh ddapati menerusi kedai dalam talian HONOR Malaysia, serta kedai-kedai fizikal HONOR Store dan juga wakil pengedar yang sah di seluruh negara.