Utama Android Xiaomi Reka bentuk Xiaomi 14 Ultra tertiris menjelang tarikh pelancarannya

Reka bentuk Xiaomi 14 Ultra tertiris menjelang tarikh pelancarannya

82
0

Imej pengolokan yang didakwa sebagai model Xiaomi 14 Ultra dilaporkan telah tertiris di arena web melalui portal MySmartPrice. Telefon pintar yang masih lagi belum diumumkan secara rasmi oleh Xiaomi berkenaan dijangka akan diperkenalkan bersama-sama Xiaomi 14.

Berdasarkan apa yang dikongsikan tersebut, model Ultra menampilkan rekaan yang sama seperti model sebelumnya. Cuma ia kini mempunyai bingkai yang mengelilingi bahagian kamera besar di belakangnya. Malah, jika dilihat pada sebelah sisinya bahagian bonggolnya kelihatan amat ketara berbanding model terdahulu.

Lain-lain cirinya kelihatan tidak jauh bezanya seperti penggunaan tekstur seakan kulit untuk permukaan belakang serta di bahagian keliling kerangkanya. Terdapat juga ura-ura yang mengatakan kerangkanya ini akan tampil dengan kerangka aluminium untuk model standard, dan titanium untuk edisi khas.

Dari segi spesifikasinya, pula, khabar angin mengatakan model paling atas Xiaomi 14 ini akan menampilkan paparan AMOLED 6.7-inci beresolusi 2K, kadar penyegaran semula skrin 120Hz dan sokongan pengimbas cap jari bawah skrin.

Telefon pintar yang menerima penarafan kerintangan air dan debu IP68 ini juga menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3 dengan RAM 16GB dan storan sehingga 1TB. Ia juga dikatakan akan menggunakan bateri berkapasiti 5,300mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 90W dan nirwayar 50W.

Pada bahagian belakangnya pula, ia kelak akan menampilkan kamera utama 1-inci Sony LYT900 dengan tiga kamera sokongan 50MP, serta sebuah kamera hadapan 32MP.

Seperti biasa, maklumat yang diperolehi ini masih belum dapat dipastikan kesahihannya sehingga kenyataan rasmi daripada pihak Xiaomi dikeluarkan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.