Redtone dan SpaceX telah menandatangani perjanjian membekalkan perkhidmatan internet satelit Starlink secara rasminya di Malaysia. Perkembangan ini hadir beberapa bulan selepas perkhidmatan Starlink ditawarkan di dalam negara.
Terdapat beberapa perbezaan antara mendaftar perkhidmatan Starlink secara terus dengan mendaftar melalui Redtone.
Antaranya, pendaftaran menerusi Redtone membolehkan pelanggan tidak perlu membayar wang pendahuluan untuk menanggung kos perkakasannya. Pelanggan juga akan menerima khidmat nasihat dari pengurus khas bagi memberikan penyelesaian paling optimum dan reka bentuk rangkaian.
Kerjasama di antara Redtone dengan Starlink ini dilihat lebih kepada memenuhi keperluan pelanggan perusahaan dan kerajaan berbanding pengguna biasa. Akhbar Malay Mail memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Lau Bik Soon, “kami mensasarkan sektor-sektor yang kian meningkat keperluan penggunaan perkhidmatan satelit seperti minyak dan gas, telekomunikasi, perkapalan dan maritim, perkhidmatan kewangan serta perladangan,”
Di dalam laman web rasmi Redtone, syarikat telekomunikasi berkenaan tidak menyatakan berkenaan pelan atau harga bagi perkhidmatan Starlink yang ditawarkannya. Pelanggan yang berminat digalakkan berhubung dengan pihak syarikat untuk membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan keperluan dan kesesuaian.