Tidak lama selepas pelancaran Mi 9T Pro, Xiaomi meneruskan lagi memperkenalkan produk terbarunya. Kali ini di bawah sub-jenama Redmi, dua model telefon pintar terbaru diperkenalkan iaitu Redmi Note 8 dan Redmi Note 8 Pro.
Redmi secara rasminya masih lagi belum mendedahkan spesifikasi teknikal kedua-dua model telefon pintar terbaru ini. Setakat ini, apa yang telah didedahkan di antaranya termasuklah ciri kamera 64MP pada bahagian belakangnya untuk Redmi Note 8 Pro melalui halaman rasminya di Weibo.
Terdapat satu lagi maklumat penting mengenai model telefon pintar ini turut dikongsikan melalui platform media sosial China ini. Namun, untuk kali ini ia bukannya dikongsikan oleh Redmi. Sebaliknya ia dikongsikan oleh pihak MediaTek.
Menurut MediaTek, model telefon pintar terbaru di bawah jenama Redmi ini bakal menggunakan cipset terbaru keluaran MediaTek iaitu Helio G90T.
Lebih banyak info mengenai Redmi Note 8 dan Redmi Note 8 Pro dijangka bakal dikongsikan menjelang tarikh pelancarannya di China pada 29 Ogos ini.
Sumber berita diperoleh dari Weibo