Xiaomi pada hari ini secara rasminya telah mempertontonkan rekaan Redmi Note 13 Pro baharu menerusi laman sosial media rasminya di Weibo. Terdahulu Xiaomi telah mengacah kehadiran telefon pintar ini dalam awal minggu ini.
Imej yang dikongsikan baru-baru ini juga memaparkan rekaan untuk model Redmi Note 13 Pro dan Redmi Note 13 Pro+. Kedua-dua menampilkan rekaan yang berbeza dengan Redmi Note 13 Pro+ menampilkan paparan melengkung dengan paparan berpenebuk lubang berserta panel belakangnya bertekstur dengan skim warna empat tona dan tri-kamera. Skrinnya juga dilindungkan dengan Corning Gorilla Glass Victus.
Redmi Note 13 Pro pula menampilkan rekaan paparan skrin rata dengan permukaan belakangnya di beri kemasan kaca. Berbeza dengan Pro+, susunan tri-kameranya ditempatkan di dalam bonggol berbentuk segi empat samabya. Berdasarkan imej yang dikongsikan juga berkemungkinan kedua-dua telefon pintar ini mempunyai saiz yang sama.
Pun begitu, Xiaomi masih lagi belum berkongsikan maklumat lanjut mengenai spesifikasi siri telefon pintar ini buat masa ini. Berdasarkan maklumat yang diacah sebelum ini, Redmi 13 Pro akan menjadi telefon pintar pertama yang menampilkan cip MediaTek Dimensity 7200-Ultra 5G dengan kamera yang menggunakan sensor Samsung ISOCELL 200MP.
Redmi Note 13 Pro dijadualkan akan dilancarkan di China pada 21 September 2023. Dijangkakan harga dan perincian spesifikasinya akan dumumkan pada waktu itu. Tiada makluman sama ada Redmi Note 13 Pro akan dipasarkan ke peringkat global nanti.