Rentetan dari pelancaran model Pro dan 4G dari siri realme 13 sebelum ini, kini tiba giliran pelancaran model 5G bersama-sama 13 Plus 5G. Berbeza dengan model siri ini yang dilancarkan lebih awal, kali ini kedua-dua model baharu dari siri ini menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity.
Untuk realme 13 5G, ia didatangkan dengan paparan OLED 6.67-inci Full HD+ dengan kadar penyegaran semula skrin 120Hz dan pemprosesan MediaTek Dimensity 6300. Ia digabungkan bersama-sama RAM 8GB dan storan pilihan antara 128GB dan 256GB. Menguasakan telefon pintar ini terdapat sebuah bateri 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 45W.
Kameranya pula, telefon pintar dengan penarafan kerintangan air dan debu IP64 ini mempunyai konfigurasi kamera utama 50MP, kamera berkedalaman 2MP dan kamera hadapan 16MP.
Seterusnya, realme 13 Plus 5G juga mempunyai skrin yang sama dengan model 13 5G, namun dibezakan pada penggunaan pemprosesan MediaTek Dimensity 7300 Energy. Baterinya juga sama kapasitinya pada 5,000mAh, namun sokongan pengecasannya lebih tinggi pada 80W.
Untuk kameranya pula ia mempunyai kamera utama 50MP dengan sebuah kamera bersudut lebar 8MP. Di hadapannya pula terdapat kamera 16MP, dan mempunyai penarafan kerintgangan air dan debu IP65, sama seperti model 5G.
Harga realme 13 5G dan realme 13 Plus 5G
Harga bagi kedua-dua telefon pintar ini juga turut diumumkan sejurus pelancarannya di India. Untuk realme 13 5G, harganya INR17,999 (~RM928) dan INR19,999 (~RM1,031) masing-masing mengikut pilihan 128GB dan 256GB.
Untuk realme 13 Plus 5G pula ia hadir dengan tiga konfigurasi 8GB + 128GB, 8GB + 256GB and 12GB + 256GB, pada harga masing-masing INR22,999 (~RM1,186), INR24,999 (~RM1,289) dan INR26,999 (~RM1,392). Setakat ini tiada maklumat bilakah kedua-dua model telefon pintar keluaran realme baharu ini akan memasuki pasaran Malaysia.