Utama Teknologi FMovies dan Jaringan Cetak Rompak Terbesar Dunia secara rasminya telah ditutup

FMovies dan Jaringan Cetak Rompak Terbesar Dunia secara rasminya telah ditutup

70
0

Perikatan Untuk Kreativiti dan Hiburan (Alliance for Creativity and Entertainment, Ace), sebuah gabungan antarabangsa yang dianggotai studio-studio Hollywood seperti Netflix, Apple TV+, Amazon dan Walt Disney Studios baru-baru ini telah mengumumkan kejayaan kerjasama dengan polis Vietnam dalam usaha membanteras kegiatan penstriman haram yang berpangkalan di Vietnam, Fmovies.to.

Selain dari Fmovies, operasi membanteras tersebut turut membawa kepada penutupan Vidsrc.to dan platform-platform pengehosan video berkait dengannya. Kedua-duanya dikatakan dikendalikan oleh individu-individu yang sama. Dua orang warga Vietnam yang dikaitkan dengan jaringan tersebut telah pun ditahan dengan pendakwaan terhadap kedua-duanya masih lagi belum difailkan setakat ini.

Operasi ini juga turut mensasarkan laman-laman lain termasuk Bflixz, Flixtorz, Movies7, dan Myflixer yang menurut Ace merupakan rangkaian penstriman cetak rompak terbesar global dengan jumlah kunjungan melebihi 6.7 billion dari Januari 2023 sehingga Jun 2024.

Charles Rivkin, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Wayang Gambar (Motion Picture Association, MPA) dan Pengerusi Ace memuji usaha penutupan tersebut sebagai kemenangan besar untuk komuniti kreatif global terutamanya para pelakon, penulis dan studio-studio utama Hollywood.

Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Perlindungan Kandungan MPA Larissa Knapp menyatakan operasi tersebut memberikan amaran kepada lanun-lanun cetak rompak. Beliau juga menyatakan sentiasa bersedia untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Vietnam dan agensi penguatkuasaan undang-undang Amerika Syarikat. Ia amat penting bagi usaha berkoordinasi dalam meningkatkan kecekapan dalam kerjasama antarabangsa dalam membanteras cetak rompak dalam talian.

Ace telah bekerjasama dengan pelbagai badan penguatkuasaan dalam membanteras kegiatan cetak rompak dalam talian melalui tindakan undang-undang dan juga arahan penutupan serta merta.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.