realme pada hari ini telah mengesahkan telefon pintar terbaru keluarannya, realme 10 Pro+ 5G akan dilancarkan di Malaysia pada 8 Disember 2022. Siri ini juga dijangka akan hadir bersama-sama model standard dan Pro.
Berdasarkan pelancarannya di China pada minggu lepas, realme 10 Pro+ 5G akan menampilkan skrin melengkung AMOLED 6.7-inci beresolusi 1080 x 2412. Melalui kadar penyegaran semula 120Hz, dan kecerahan maksima 800 nits dan telefon pintar ini juga menawarkan output warna sejumlah satu billion.
Bersama-sama cipset MediaTek Dimensity 1080, telefon pintar ini turut didatangkan dengan RAM sehingga 12GB dan storan dalaman sehingga 256GB.
Untuk fotografinya, telefon pintar ini menampilkan tri-kamera yang mengandungi kamera utama 108MP, kamera ultra lebar 8MP dan kamera berkedalaman 2MP. Pada sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 16MP.
Selain itu, ia juga hadir dengan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan pantas 67W melalui USB-C. Telefon pintar Android 13 melalui platform realme UI 4.0 ini juga menyediakan satu pengimbas cap jari pada sebelah sisi bersama-sama sokongan ketersambungan nirwayar Wi-Fi dan Bluetooth.
realme 10 Pro dan realme 10 dijangka akan hadir ke Malaysia
Seterusnya, realme 10 Pro menampilkan skrin LCD IPS rata 6.72-inci beresolusi 1080 x 2400 piksel, kadar penyegaran semula 120Hz dan kadar kecerahan 680 nits. Ia dilengkapkan dengan cipset Snapdragon 695 bersama-sama RAM sehingga 12GB dan storan sehingga 256GB.
Telefon pintar ini juga hadir bersama-sama bateri bekapasiti 5,000mAh dengan pengecasan pantas 33W melalui USB-C, Android 13 melalui realme UI 4.0 dan sokongan untuk Wi-Fi dan Bluetooth.
Fotografi untuk model Pro ini hanya hadir dengan dwi-kamera sahaja, namun masih lagi kekal dengan kamera utama 108MP dan kamera berkedalaman 2MP. Pada sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 16MP.
Akhir sekali, model standard realme 10 menampilkan panel skrin rata Super AMOLED 6.4-inci beresolusi 1080 x 2400, kadar segar semula 90Hz dan kadar pensampelan sentuh 360Hz.
Menguasakan telefon pintar, cipset MediaTek Helio G99 digunakan bersama-sama memori sehingga RAM 8GB dan storan sehingga 256GB. Sama seperti model Pro, ia juga mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan pantas 33W melalui USB-C, dengan Android 13 melalui realme UI 4.0 dan juga sokongan Wi-Fi dan Bluetooth.
Dalam pada masa yang sama, realme 10 juga mempunyai kamera utama 50MP dan kamera makro 2MP pada sebelah belakangnya. Juga disediakan sebuah kamera 16MP pada sebelah hadapan.
Seperti yang dinyatakan awal tadi, realme 10 Pro+ 5G akan hadir pada 8 Disember 2022. Cuma buat masa ini tidak dapat dipastikan sama ada kesemua varian lain termasuk standard dan Pro akan dilancarkan bersama-sama pada tarikh berkenaan.