Kira-kira sebulan yang lalu, Microsoft telah mengumumkan sokongan untuk Python di dalam Excel, membolehkan pengguna memanfaatkan bahasa pengaturcaraan berkenaan bersama-sama formula Excel untuk menganalisa data. Pengumuman tersebut menerima sambutan yang menggalakkan dari pengguna dan seterusnya telah membawa Microsoft untuk menerbitkan penyunting Python untuk aplikasi Office berkenaan.
Dinamakan sebagai Python Editor, fungsi ini muncul dari Excel Labs, sebuah inisiatif Microsoft Garage yang menghimpunkan anggota-anggota dari pasukan Excel. Untuk makluman anda, Microsoft Garage merupakan sebuah inisiatif yang mengumpulkan pekerja-pekerja Microsoft dari pelbagai bahagian untuk membina perisian baharu dan eksperimental yang boleh dijadikan sebagai sebuah produk baharu atau digabungkan dengan produk sedia ada.
Python Editor di dalam Excel menawarkan pengalaman menulis kod di dalam keadaan yang sama dengan persekitaran pembangunan bersepadu (integrated development environment, IDE) seperti Visual Studio Code (VSC). Beberapa komponen di dalam VSC seperti sorotan sintaks, IntelliSense, perlengkapan kod secara automatik dan pemformatan sempurna turut disokong di dalam ciri tersebut.
Satu lagi kelebihan Python Editor termasuklah keupayaan melakukan debug kod anda dengan menunjukkan keputusan berdasarkan setiap langkah pelaksanaan mengikut turutan. Ia juga dibina secara khusus bagi tujuan penskripan yang lebih panjang dari segi pengalaman kepenggunaan. Persekitarannya juga dibina bagi tujuan pengoptimasian kaedah pengaturcaraan tradisional.
Pengguna juga boleh membuat perubahan kod di dalam Python dengan pelbagai cara dan tidak perlu membuat perubahan terhadap data melainkan anda mensanggupkannya (commit). Ia seterusnya mengurangkan risiko data anda bercelaru ketika kod sedang ditulis.
Python Editor kini ditawarkan sebagai penambahan baharu (add-in) di Excel Labs menerusi Gedung Penambahan Baharu (Add-ins Store). Pengguna boleh mengakses ke ciri tersebut dengan mengaktifkan fungsi Python in Excel terlebih dahulu. Ciri ini masih belum dimasukkan bersama-sama di dalam Microsoft Excel secara lalai buat masa ini. Namun, tidak mustahil ia akan dimasukkan kelak apabila menerima sambutan yang amat menggalakkan dari komuniti bahasa pengaturcaraan Python, Excel serta penganalisis dan saintis data.