Utama Google Chatbot AI Google Bard kini boleh mencari jawapan di dalam Gmail, Docs...

Chatbot AI Google Bard kini boleh mencari jawapan di dalam Gmail, Docs dan Drive Pengguna

309
0
Google Bard Extensions

Chatbot dengan sokongan kecerdasan buatan (A.I.) Google Bard kini boleh mendapatkan jawapan dari peti masuk Gmail, Docs dan Drive pengguna selain maklumat berdasarkan carian di internet.

Melalui integrasi ini, anda boleh menawarkan Bard untuk melakukan carian dan merumuskan kandungan sesebuah emel atau mengetengahkan poin-poin penting di dalam dokumen yang anda simpan di dalam Drive.

Terdapat banyak kegunaan dari integrasi ini yang dinamakan Google sebagai extensions. Ia mampu memudahkan pengguna untuk membuat keputusan tanpa perlu menyelongkar emel atau dokumen satu-persatu.

Anda juga boleh menggunakan Bard untuk menghadamkan maklumat dengan menjadikan data dan maklumat tersebut dalam bentuk graf atau poin-poin. Cuma, fungsi ini hanya terhad di dalam Bahasa Inggeris buat masa ini.

Penawaran fungsi baharu ini juga mencetuskan kegusaran di kalangan pengguna kerana melibatkan isu privasi maklumat di dalam dokumen dan emel. Namun, Google menjelaskan maklumat tersebut tidak akan digunakan bagi melatih model awam Bard dan dilihat oleh pengulas yang diuruskan oleh manusia. Integrasi dengan Gmail, Docs dan Drive ini juga tidak diaktifkan secara lalai dan hanya diaktifkan jika pengguna bersetuju untuk turut serta.

Untuk menggunakan fungsi ini, anda boleh meminta Bard melakukan carian terus di dalam Gmail anda. Misalnya dengan memasukkan @mail di dalam soalan anda. Atau anda juga boleh meminta secara terus melalui ayat (prompt) yang jelas seperti: “Check my email for information related to my upcoming flight.”

Integrasi dengan Perkhidmatan Google lain

Perlanjutan keupayaan Bard ini juga tidak terhad pada Gmail, Docs dan Drive sahaja. Malah ia juga akan menyokong integrasi dengan perkhidmatan Google lain seperti Maps, YouTube, dan Google Flights.

Google juga membawakan sejumlah penambahbaikan di dalam Bard seperti membuat semakan silang jawapan yang diberikan dengan menyediakan butang “Google It”. Sebelum ini butang tersebut membolehkan pengguna membuat carian berdasarkan topik berkaitan jawapan Bard berdasarkan Google. Ia kini akan menunjukkan sama ada jawapan Bard mengandungi maklumat dari Google Search atau bercanggah.

Hasil dari fungsi “Google It” akan menunjukkan maklumat yang disahkan dari Search dengan warna hijau dan maklumat yang tidak dapat disahkan dengan warna oren. Anda juga boleh melalukan di atas pernyataan yang disorotkan untuk lebih konteks tentang apa yang dinyatakan Bard tersebut betul atau salah.

Sejak mula diperkenalkan pada Februari lalu, Google telah menambahkan pelbagai fungsi di dalam Bard secara berperingkat termasuk keupayaan menjana dan debug kod pengaturcaraan serta mewujudkan ‘functions’ untuk Google Sheets. Google baru-baru ini juga telah menambahkan sokongan untuk Google Lens di Bard bagi membolehkan anda menggunakan alatan tersebut untuk mendapatkan idea kapsyen untuk foto atau mendapatkan lebih banyak maklumat mengenainya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.