Utama Android Redmi Xiaomi sahkan Redmi Note 13 Pro akan menampilkan Cip Snapdragon 7s Gen...

Xiaomi sahkan Redmi Note 13 Pro akan menampilkan Cip Snapdragon 7s Gen 2 baharu

390
0

Xiaomi baru-baru ini telah mengesahkan cipset yang akan ditampilkan pada varian Pro untuk siri Redmi Note 13 yang dijadual akan dilancarkan di China dalam minggu ini.

Berbeza dengan Pro+ yang menggunakan Dimensity 7200 Ultra, Redmi Note 13 Pro akan menggunakan pemprosesan peringkat menengah Qualcomm, Snapdragon 7s Gen 2. Telefon pintar berkenaan juga akan menjadi telefon pintar pertama yang menggunakan pemprosesan tersebut.

Snapdragon 7s Gen 2 merupakan cip berkeupayaan 5G yang dibina menggunakan teknologi pembuatan 4nm. Ia mengandungi empat teras berprestasi 2.4GHz, dan empat teras berkecekapan 1.95GHz. Ia juga akan digandingkan dengan GPU Adreno yang masih belum dinyatakan.

Lain-lain ciri yang disediakan termasuklah platform ketersambungan FastConnect 6700 yang menyokong kelajuan memuat turun sehingga 2.9Gbps dan Bluetooth 5.2.

Turut disediakan ISP Spectra yang menyokong sensor kamera sehingga 200MP dan juga tangkapan video 4K pada 30fps. Terdapat juga sokongan terbina dalam untuk LPDDR5 3200MHz RAM, USB-C 3.1 dan Quick Charge 4+.

Xiaomi sebelum ini telah mengumumkan siri Redmi Note 13 akan ditawarkan dengan tiga model iaitu standard, Pro dan Pro+. Di kalangan telefon pintar tersebut, hanya model Pro dan Pro+ sahaja yang telah didedahkan di dalam iklan-iklan acah yang dikongsikan menjelang pelancarannya pada 21 September 2023.

Kedua-dua model berkenaan juga telah disahkan akan mempunyai kerintangan air dan debu IP68, dan juga perlindungan Corning Gorilla Glass Victus untuk paparannya.

Dari sudut fotografi dan videografi, Redmi Note 13 akan menawarkan sensor kamera utama ISOCELL 200MP dari Samsung.

Bagaimanapun, tidak banyak maklumat mengenai rekaan, spesifikasi atau ciri untuk model standard Redmi Note 13 setakat ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.