Peningkatan kebergantungan pengguna terhadap perkhidmatan berasaskan awanan memerlukan penyedia-penyedia pusat data memikirkan cara terbaru dalam mencari lokasi terbaik. Seperti yang kita sedia maklum, pusat data memerlukan sejumlah tenaga yang besar untuk menyejukkannya. Facebook, Google dan terkini Microsoft sedang sedaya upaya mencari jalan alternatif untuk menyelesaikan masalah kepanasan di pusat data masing-masing.
Beberapa tahun kebelakangan ini, Microsoft sedang mengusahakan projek penyelidikan yang dinamakan sebagai Project Natick, sebuah kajian mengenai cara pusat data beroperasi di bawah laut. Buat permulaan, sebuah prototaip dikenali dengan nama Leona Philpot (dinamakan sempena watak di dalam permainan Halo) telah ditempatkan di dasar Lautan Pasifik, 1 kilometer dari pantai barat Amerika Syarikat.
Banyak manfaat yang diperoleh melalui pembinaan pusat data dasar laut ini selain dari penggunaan air laut untuk menyejukkannya. Menurut Microsoft, pembinaan pusat data untuk perkhidmatan berasaskan awanan ini hanya memerlukan tempoh 90 hari untuk disiapkan berbanding tempoh sehingga dua tahun bagi pembinaan secara konvensional di atas daratan.
Selain itu, disebabkan kebanyakan kawasan bandar berkepadatan tinggi di seluruh dunia adalah berhampiran dengan laut, banyak kependaman (latency) dapat dilengahkan berbanding pusat data di daratan yang pada kebiasaannya dibina jauh di kawasan pedalaman.
Untuk mengelakkan kesan terhadap alam sekitar, Microsoft berkata pihaknya sedang berusaha untuk memastikan tiada pemanasan di kawasan sekitar pusat data berkenaan ditempatkan.
Setakat ini, Microsoft telah menjalankan Leona Philpot untuk tempoh 105 hari dan ianya telah berjaya melangkaui apa yang pasukan projek berkenaan jangkakan. Tiada sebarang masalah berlaku sepanjang tempoh percubaan ini berlangsung.
Cuma, masalah bagi pusat data di bawah laut ini adalah apabila timbul sebarang kerosakan, bukan mudah untuk hantar juruteknik komputer untuk troubleshoot kat bawah laut tu. Kena pulak masalah berlaku tengah-tengah malam buta. Entah berapa nak bayar claim overtime nanti.
-Sumber berita diperoleh dari The Verge