Iklan yang diterbitkan di laman Facebook rasminya menyertakan tanda pagar #PROTONEV di dalam kapsyen promosinya. Dijangkakan, jenama kereta nasional ini akan memberikan perincian lanjut berkenaan model kenderaan elektrik (electric vehicle, EV) pertamanya seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini.
Pengumuman yang dibuat pada Februari lalu turut menjelaskan tentang perancangan Proto untuk mewujudkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Hangzhou, China untuk membangunkan model Saga, Persona dan Iriz. Turut dibangunkan di dalam rancangan tersebut Kenderaan Tenaga Baharu (New Energy Vehicle, NEV) dari Proton.
Apa nama untuk Kenderaan Elektrik (EV) baharu nanti?
Sungguhpun ramai pihak yang berharap untuk dapat melihat model kenderaan elektrik tersebut, terdapat kemungkinan yang Proton mungkin hanya akan mendedahkan nama untuk kenderaan tersebut. Lagipun, syarikat pengeluar kereta nasional ini juga baharu sahaja menamatkan peraduan “Decode The Future” pada 5 Jun lalu. Peraduan tersebut diadakan dengan menjemput orang ramai meneka “nama jenama” untuk kenderaan elektrik yang akan diperkenalkan kelak.
Terdapat desas-desus yang mengatakan kenderaan elektrik pertama Proton ini mungkin berasaskan Geely Galaxy E5, yang buat masa ini masih lagi belum diperkenalkan secara rasmi. Maklumat berkenaan kenderaan elektrik pertama Proton juga pada ketika ini juga tidak begitu banyak diketemukan.
Berdasarkan senarai yang diterbitkan pada laman web rasmi Kementerian Teknologi Industri dan Maklumat China menunjukkan kenderaan tersebut mungkin akan dilengkapkan dengan motor elektrik 160kW (215hp) dan pek bateri LFP.
Dalam perkembangan berkaitan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Li Chunrong pada Februari lalu mengesahkan pihak syarikatnya akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk mengeluarkan kenderaan elektrik pertamanya menjelang 2025.
Ia merupakan sebagai sebahagian dari usaha memenuhi jangkaan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Beliau juga menyatakan Proton berhasrat ingin memperkenalkan model kenderaan elektrik sepenuhnya yang kedua sekitar lima hingga enam bulan selepas model pertama dilancarkan.