Proton merancang untuk melancarkan kenderaan elektrik (electric vehicle, EV) keluarannya tidak lama lagi, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Li Chunrong. Beliau berkata demikian di dalam majlis makan malam penghargaan media bersempena Tahun Baru Cina semalam.
Memetik laporan dari Paultan.org, Proton juga berhasrat untuk memperkenalkan model kedua dalam tempoh sekitar enam hingga lapan bulan selepas model pertama dilancarkan.
Bagaimanapun, Li Chunrong tidak menjelaskan dengan lebih terperinci berkenaan dua model kenderaan elektrik berkenaan. Beliau juga berkongsikan beberapa perkara yang dirancang oleh Proton seperti membangunkan pusat penyelidikan dan pembangunan baharu di Hangzhou, China.
Pusat tersebut akan mengkhususkan pada pembangunan model-model baharu Saga, Persona dan Iriz di masa hadapan. Tambah beliau lagi, pembangunan Kenderaan Tenaga Baharu (New Energy Vehicle, NEV) turut giat dilaksanakan.
Sebelum ini Proton pernah dilaporkan meneroka potensi pengeluaran kenderaan elektrik dengan memperkenalkan prototaip Iriz EV ketika Pamera Pengeluaran Teknologi Hijau dan Alam Sekitar (iGEM) pada 2015. Bagaimanapun, projek tersebut tidak diteruskan dengan kenderaan konsep tersebut dilaporkan telah dilelong pada 2020.