Keghairahan fenomena Pokemon Go sudah mula merosot apabila permainan realiti imbuhan ini telah mengalami pengurangan lebih dari 15 juta pengguna aktif harian dalam sebulan kebelakangan ini. Data-data berkenaan dikumpulkan oleh Axiom Capital Management dan diterbitkan oleh Bloomberg.
Selain itu, data yang dikumpulkan melalui syarikat penyelidikan peranti mudah alih, Apptopia menunjukkan keterlibatan (engagement) pengguna terhadap aplikasi permainan ini turut mengalami kemerosotan sehingga melebihi 50 peratus. Malah, carian melalui Google juga mencatatkan pengurangan mendadak tidak seperti apa yang telah dicatatkan pada tempoh pengenalannya.

Penganalisis Kanan Axiom Capital, Victor Anthony memberitahu bahawa para pelabur di syarikat-syarikat berkaitan IT seperti Facebook, Twitter dan Snapchat telah meluahkan kebimbangan jika aplikasi permainan ini mampu mengurangkan tumpuan pengguna terhadap aplikasi-aplikasi mudah alih yang telah sedia ada. Walaubagaimanapun, berdasarkan data-data terkini yang telah direkodkan, para pelabur mungkin boleh menarik nafas lega.
Kemerosotan minat pengguna terhadap Pokemon Go bukan sahaja memberikan kesan negatif terhadap aplikasi permainan berkenaan. Malah, ia mungkin memberikan kesan terhadap perkembangan teknologi realiti imbuhan (augmented reality) pada masa akan datang.
Pada bulan lalu, Pokemon Go telah berjaya mencatatkan jumlah pengguna yang tertinggi dan berjaya menduduki tempat pertama di Google Play dan App Store dalam kategori aplikasi percuma. Kehadiran aplikasi permainan ini turut menyebabkan harga saham Nintendo melonjak naik di bursa saham.
Pun begitu, Nintendo cepat bertindak mengeluarkan kenyataan bahawa pihak mereka tidak terlibat di dalam pembangunan aplikasi ini dan tidak lama kemudian harga saham Nintendo turun mendadak dan kembali ke paras sedia kala.
Sumber berita diperoleh dari Bloomberg
Nampak tak, sebenarnya manusia ni cepat bosan. Ehehe