Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan rakyat Malaysia bakal menikmati teknologi 5G menjelang penghujung tahun ini. Pelaksanaan secara berperingkat tersebut merupakan sebahagian dari inisiatif MyDIGITAL di bawah Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia.

Penyediaan perkhidmatan 5G untuk kegunaan komersial di Malaysia yang sedang giat diusahakan di seluruh negara ini sudah bermula dari 2019. Justeru, pelaksanaan teknologi 5G pada akhir tahun ini pastinya disambut baik oleh kebanyakan rakyat yang menaruh harapan.

Sebanyak RM 15 bilion akan dilaburkan bagi pelaksanaan 5G di Malaysia bagi tempoh 10 tahun. Sebuah syarikat tujuan khas (SPV) oleh kerajaan akan ditubuhkan bagi memantau usaha ini yang dijangka bakal mewujudkan sekitar 105,000 peluang pekerjaan.

Menurut kenyataan dari PM, spektrum 5G akan diberikan kepada SPV tersebut dengan tujuan pelaksanaan dan menguruskan infrastruktur 5G negara. Perdana Menteri menjanjikan semua syarikat telekomunikasi akan mendapat akses yang adil ke infrastruktur 5G berkenaan. Ini membolehkan syarikat-syarikat berkenaan kekal berdaya saing dengan pada masa yang sama membolehkan pengguna menikmati 5G pada harga mampu milik.

Dijangkakan lebih banyak perincian mengenai pelan pelaksanaan 5G kebangsaan ini akan diumumkan dalam masa yang terdekat ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.