Utama Mobile Aplikasi Kesemua Plaza Tol Lebuhraya PLUS akan menyokong RFID menjelang awal 2022

Kesemua Plaza Tol Lebuhraya PLUS akan menyokong RFID menjelang awal 2022

94
0

Lanjutan dari pelaksanaan RFID dengan sistem pengecaman nombor plat automatik (ANPR) di wilayah utara, PLUS akan mula mengintegrasikan RFID di kesemua plaza tol lebuh rayannya menjelang awal tahun hadapan.

Menurut laporan dari The Star, sekurang-kurangnya satu lorong khusus RFID akan disediakan bagi setiap plaza tol lebuhraya PLUS. Pada asalnya, PLUS merancang untuk melaksanakan RFID di kesemua 83 plaza tol tertutup pada tahun lepas. Namun, rancangan tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan perintah kawalan pergerakan.

RFID merupakan kaedah pembayaran nirtunai yang menggunakan pelekat pada lampu depan atau cermin depan sesebuah kenderaan. Tidak seperti SmartTAG, RFID tidak memerlukan bateri dan kad fizikal Touch ‘n Go (TNG) untuk isian semula. Kesemua bayaran tol akan ditolak secara terus dari aplikasi Touch ‘n Go eWallet pengguna.

Pembayaran tol secara nirtunai kini lebih mudah dengan RFID dan TNG eWallet

Ini mengurangkan keperluan untuk beratur membuat isian semula kad fizikal TNG memandangkan anda boleh terus membuat isian semula pada aplikasi berkenaan. Anda juga boleh menetapkan isian semula secara automatik pada aplikasi TNG eWallet melalui kad kredit atau debit anda.

Ketua Pegawai Eksekutif Teras Teknologi Sdn Bhd, Encik Anwar Ishak memberitahu The Star bahawa sistem TNG RFID akan dilancarkan bersama-sama sistem ANPR. RFID dan ANPR membenarkan kelajuan pandu lalu yang lebih tinggi pada 30km/j, berbanding SmartTAG pada 20km/j.

Beliau berkata, ANPR boleh bertindak sebagai lapisan pengecaman identiti kedua bagi mengelakkan pengguna lebuh raya dikenakan tindakan apabila tersilap menggunakan kaedah pembayaran ketika memasuki lebuh raya. Ia juga boleh digunakan untuk membantu menyelesaikan isu-isu lain melibatkan salah faham ketika pembayaran.

Sungguhpun sistem berkenaan menggunakan kamera beresolusi tinggi dan kecerdasan buatan, bantuan sokongan dari manusia masih lagi diperlukan untuk memastikan sistem berjalan dengan lancar. Pengecaman nombor plat dari manusia diperlukan bagi mengesan nombor plat yang rosak, kotor atau tidak menggunakan piawaian yang telah ditetapkan.

Ketua Pegawai Teknologi PLUS, Kang Yew Jin menjelaskan kos pelaksanaan RFID adalah lebih rendah berbanding SmartTAG apabila penggunaannya semakin diperluaskan. Hal ini dapat dilakukan kerana sistem baharu ini kurang menggunakan sistem proprietari.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.