Terdapat ratusan judul-judul permainan komputer percuma yang boleh dimuat turun secara atas talian. Namun, bagi peminat permainan komputer, adalah agak sukar untuk menemukan judul-judul permainan percuma yang bagus untuk dimainkan.
Kebanyakan pembangun permainan komputer percuma atau ‘Free to Play’ ini lebih memikirkan soal keuntungan jangka pendek semata-mata tanpa memberikan pulangan yang berbaloi kepada pemain-pemainya. Percuma pada istilah mereka ini adalah untuk beberapa fungsi dan item sahaja dan jika pengguna ingin peringkat lanjut, pembayaran perlu dilakukan yang biasa dikenali sebagai ‘micro-transaction’.
Walaubagaimanapun, tidak semua permainan percuma ini tiada kualiti. Terdapat sebahagian judul-judul yang mampu memberikan pemain kepuasan yang tersendiri, seperti judul;
DOTA 2
Mendahului senarai permainan komputer percuma terbaik, DOTA 2. Permainan ini sudah tidak asing lagi bagi peminat-peminat permainan komputer dan juga kaki-kaki cyber cafe.
DOTA 2 merupakan kesinambungan salah satu mod permainan Warcraft III paling masyhur, DOTA atau Defense of the Ancients. Mod ini juga bertanggungjawab mewujudkan genre terbaru di dalam permainan komputer, MOBA (Multiplayer Online Battle Arena).
Di dalam permainan ini, para pemain diberikan pilihan watak-watak hero dan menggunakannya untuk beradu tenaga di dalam pertempuran antara dua pasukan untuk setiap sesi. Para pemain perlu menggunakan kebijaksanaan dalam mengatur strategi untuk menumpaskan pihak lawan. Atau, kalau anda noob macam saya, main hentam ikut suka sampai kena maki dengan rakan sepasukan sebab jadi punca kekalahan.
League of Legends
Tidak sah rasanya jika hanya bercerita tentang DOTA 2 tanpa pesaingnya, League of Legends. Permainan bergenre MOBA ini turut dihasilkan atas inspirasi dari DOTA.
Mana satu lebih baik, DOTA 2 atau League of Legends? Di sini saya tidak akan komen lebih-lebih memandangkan pilihan ini lebih bersifat peribadi bergantung kepada citarasa masing-masing.
Cuma satu la yang saya nak cakap tentang ini, jika kawan-kawan anda cenderung bermain pada salah satu dari dua permainan MOBA ini, anda ikut je kawan-kawan anda tu sama ada lebih suka main DOTA 2 atau LOL.
Heroes of the Storm
Melengkapkan trio genre MOBA dalam senarai ini, Heroes of the Storm, judul yang dibangunkan oleh Blizzard. Pembangun yang turut membangunkan judul-judul permainan popular seperti Starcraft, Diablo dan Warcraft.
Perbezaan ketara judul ini berbanding judul-judul MOBA lain di atas adalah ianya lebih mesra pengguna dan lebih mudah dipelajari.
Team Fortress 2
Judul ini merupakan permainan bukan MMO (Massively Multiplayer Online) pertama yang ditawarkan sebagai permainan atas talian percuma. Pertama kali dilancarkan lebih kurang sembilan tahun lalu, Team Fortress 2 adalah di antara salah satu daripada 5 permainan paling popular di Steam. Jika anda penggemar genre penembak, permainan ini mungkin menarik buat anda.
Path of Exile
Path of Exile adalah permainan aksi RPG (Role Playing Game) yang mirip kepada permainan Diablo II. Peta-peta yang dijelajahi pemain dibentuk secara rawak. Sebanyak tujuh kelas yang boleh dimainkan serta cabang-cabang kemahiran yang sangat kompleks.
Jika anda merasa kempunan dengan permainan Diablo III, cubalah bermain permainan ini. Tak rugi pun sebab boleh dimuat turun dan dimainkan secara percuma.
Marvel Heroes
Masih lagi dengan genre aksi RPG, Marvel Heroes sesuai bagi anda yang menggemari watak-watak adiwira Marvel seperti Spiderman, Captain America, Iron Man dan lain-lain. Antaramuka dan cara permainannya mirip dengan judul popular Marvel iaitu Marvel: Ultimate Alliance.
Hearthstone
Permainan berasaskan pertempuran kad seperti Magic: The Gathering dan Pokemon. Ia dibangunkan oleh Blizzard dan berasaskan kepada dunia WarCraft. Judul ini kerap dilakukan pengemaskinian oleh Blizzard supaya ianya kekal menarik dan relevan untuk para pemain-pemainya.
Star Trek Online
Bosan dengan permainan-permainan yang bertemakan dunia purbawara seperti WarCraft? Cuba dongakkan ke angkasa dengan permainan Star Trek Online.
Judul permainan ini kaya dengan kandungan kreatifnya. Selain dari misi-misi yang ditawarkan melalui jalan cerita yang ditawarkan oleh pembangunnya, permainan ini menawarkan kebebasan kepada pemain-pemainnya untuk membuat sendiri jalan cerita mengikut rekaan masing-masing melalui alatan pembina misi permainan ini, The Foundry.
World of Tanks
Genre peperangan semakin mendapat perhatian dikalangan pemain permainan komputer hari ini. Judul paling menonjol untuk genre ini tentu sahaja World of Tanks.
Berdasarkan namanya sahaja, kita sudah sedia maklum permainan ini adalah tentang kereta kebal. Permainan ini sesuai bagi para pemain yang menggemari dunia ketenteraan.
Tera
Permainan MMO yang sarat dengan aksi ini menawarkan grafik yang cantik, pertempuran yang hebat (untuk tahap permainan MMO) dan model permainan ‘free-to-play’ yang berdaya saing.
Walaupun ia mempunyai kelemahan dari segi jalan penceritaan dan pemberian ‘quest’, judul ini tetap sesuatu yang menarik untuk dicuba bagi anda yang cuba lari dari klise permainan yang cuba menyerupai World of Warcraft













