Perisian desktop jarak jauh atau lebih tepat lagi, perisian akses jarak jauh adalah perisian yang membolehkan anda mengawal sesebuah komputer dari komputer lain secara jarak jauh.
Pengguna boleh mengawal keseluruhan komputer jarak jauh berkenaan termasuk input papan kekunci dan kursor tetikusnya. Pendek kata, anda boleh mengawal sepenuhnya.
Biasanya, untuk mengakses ke sesebuah komputer, anda perlu memasangkan perisian khas pada komputer yang ingin anda kawal dari jarak jauh. Komputer jarak jauh berkenaan akan dinamakan sebagai host, manakala komputer yang digunakan untuk mengaksesnya pula dinamakan sebagai client.
Berikut adalah beberapa perisian desktop jarak jauh (remote desktop) percuma yang anda boleh gunakan dengan mudah tanpa pengetahuan komputer yang mendalam.
Isi Kandungan
Remote Utilities
Perisian percuma ini berfungsi dengan memadankan dua komputer jarak jauh bersama-sama dengan satu Internet ID. Ianya mampu mengawal sehingga 10 buah komputer dalam satu-satu masa.
Bahagian Host
Anda boleh memasangkan perisiannya secara penuh pada komputer yang hendak dijadikan sebagai host untuk mendapatkan akses kepadanya secara kekal.
Atau anda juga boleh menjalankan Agent untuk menggunakannya secara segera tanpa perlu melakukan apa-apa pemasangan. Selain itu, Remote Utilities juga boleh dilancarkan terus dari pemacu flash.
Komputer yang menjadi host seterusnya boleh mendapatkan ID Internet yang boleh digunakan oleh client untuk membuat sambungan.
Bahagian Client
Program Viewer boleh digunakan untuk menyambungkan ke host atau perisian agent.
Anda boleh memilih sama ada ingin memuat turun fail Viewer sahaja atau Viewer + Host, mahupun versi mudah alih jika anda tidak mahu membuat pemasangan.
Menyambungkan Viewer ke Host atau Agent tidak memerlukan anda membuat apa-apa perubahan pada router anda seperti port forwarding, menjadikan pemasangannya amat mudah dilakukan. Apa yang pengguna perlukan hanya nombor Internet ID dan kata laluannya sahaja.
Pemasangan perisian ini bagaimanapun agak mengelirukan sedikit cara pemasangannya bagi pengguna yang pertama kali melakukannya.
Buat masa ini, Remote Utilities untuk versi Linux dan macOS masih lagi diperingkat beta.
Muat turun Remote Utilities di sini
Chrome Remote Desktop
Perkhidmatan akses jarak jauh dari Google ini membolehkan anda mengakses ke komputer termasuk ketika pengguna tidak melog masuk.
Antara kelebihan perkhidmatan ini adalah pemasangannya yang pantas serta menyokong fungsi berbilang monitor. Turut disediakan alatan untuk pemindahan fail.
Komputer jarak jauh tersebut juga boleh diakses melalui aplikasi khususnya dan boleh digunakan pada platform Windows, macOS dan Linux.
Tiada fungsi borak (chat) disediakan untuk berborak dengan pengguna jarak jauh. Selain itu, ianya tidak membenarkan fungsi mencetak dari jarak jauh.
Muat turun Chrome Remote Desktop di sini
Getscreen.me
Bagi anda yang inginkan perisian ringkas tetapi hebat, anda mungkin boleh mencuba perisian ini. Ianya cepat digunakan dan amat sesuai untuk kegunaan akses jarak jauh dalam masa yang singkat.
Pun begitu, Getscreen.me boleh juga digunakan untuk akses secara kekal. Melaluinya, anda boleh mengakses ke komputer jarak jauh melalui pelayar web anda dengan pelbagai fungsi disediakan seperti perkongsian fail, tetingkap borak, kekunci pintas, clipboard dan panggilan audio.
Perisian ini hanya mengehadkan dua komputer sahaja bersambungan dalam satu-satu masa. Untuk akses dari peranti mudah alih, Getscreen.me hanya mempunyai aplikasi versi Android sahaja.
Windows Remote Desktop
Windows Remote Desktop merupakan perisian akses jarak jauh terbina dalam sistem operasi Windows. Tiada muat turun tambahan diperlukan untuk menggunakannya.
Selain menyediakan akses jarak jauh, alatan ini juga menyokong fungsi pemindahan fail.
Ianya terhad pada sistem operasi Windows sahaja dan tidak semua jenis Windows yang boleh diakses secara jarak jauh melaluinya. Untuk membuka akses Remote Desktop ini, pengguna perlu membuat perubahan pada ‘port forwarding’ terlebih dahulu pada router.
TeamViewer
Sebuah lagi perisian jarak jauh yang popular pada masa ini dan ianya adalah percuma untuk digunakan. Antara fungsi yang ditawarkannya adalah chat melalui teks, video dan suara, serta membenarkan cetakan dari jarak jauh.
TeamViewer juga menyokong fungsi Wake-on-LAN (WOL) dan ianya tidak memerlukan konfigurasi port forwarding untuk menggunakannya.
Boleh digunakan menerusi program desktop, peranti mudah alih, dan pelayar, perisian ini juga boleh digunakan pada berbilang monitor.
Bagaimanapun, pengguna perlu berhati-hati ketika membuat tetapan awal pemasangannya untuk tidak menggunakan versi komersil. Versi percuma dan versi komersil dibezakan dengan penambahan pelbagai fungsi, selain dari bayaran yang dikenakan.
AnyDesk
AnyDesk, sebuah lagi program desktop jarak jauh yang tidak kurang popularnya. Program ini boleh dipasangkan seperti biasa atau dipasangkan secara mudah alih (portable).
Program ini membolehkan anda mewujudkan nama yang mudah diingati untuk sambungan jarak jauh. Ianya menyokong fungsi pemindahan fail dan juga audio.
Dalam masa yang sama, program ini juga boleh menkonfigurasikan sambungan sama ada keutamaan pada kualiti paparan atau kelajuannya.
Boleh digunakan pada Linux, Windows dan macOS, AnyDesk mampu mengemaskini versi perisiannya secara automatik. Untuk kemudahan penggua, ianya juga menyediakan aplikasi mudah alih.
Akhir kalam
Perisian desktop jarak jauh ini amat membantu terutamanya bagi pekerja-pekerja yang berkeperluan bekerja dari rumah (BDR) di saat pandemik ini. Penyelarasan fail-fail dan tugasan-tugasan antara komputer di pejabat dan di rumah dapat membantu melancarkan urusan kerja anda walaupun anda berada di rumah.
Jika anda mempunyai sebarang pendapat dan mempunyai cadangan perisian desktop jarak jauh ini, sila nyatakannya menerusi ruangan komentar di bawah.