Nampak gayanya, khabar-khabar tentang perancangan Nvidia untuk menghasilkan kad grafik “khusus” untuk melombong cryptocurrency memang benar-benar berlaku. Maklumat yang ditiriskan ini turut mendedahkan empat jenis kad grafik perlombongan yang tersuai dari Asus, Colorful dan MSI.
Menariknya, tiga dari empat kad grafik perlombongan tersuai dari Asus, Colorful dan MSI adalah berasaskan GPU Nvidia Pascal GP106-100. Untuk makluman, GPU GP106 digunakan pada kad grafik Nvidia GTX 1060. Sudah pasti, GPU Pascal yang digunakan pada kad grafik perlombongan Nvidia ini sedikit berbeza dan oleh sebab itu pengakhiran pada namanya menggunakan “100” dan bukannya “400”.
Selain itu, kad grafik Nvidia tersuai khusus untuk perlombongan yang pertama ditiriskan maklumat adalah Asus Mining-P106-6G. Apa yang menarik, kad grafik ini amat mirip dengan kad grafik Asus GTX 1060 Expedition – sejenis kad grafik yang menampilkan ciri-ciri tahan lasak.
Dari segi spesifikasi, Asus Mining-P106-6G mempunyai kelajuan asas 1506MHz dan kelajuan dipertingkatkan 1708MHz, berserta 6GB VRAM; klok memori 8000MHz dan mendapatkan kuasa melalui penyambung 6-pin.
Untuk spesifikasi kad grafik perlombongan Colorful pula, GP106-100 WK1/WK2 menampilkan 6GB VRAM; kelajuan memori klok 8000MHz, TDP 120W berserta kelajuan asas dan yang dipertingkatkan masing-masing 1506MHz dan 1708MHz.
Akhir sekali, kad grafik perlombongan MSI GP106-100 Miner dan abang longnya, GP104-100 Miner. Tidak dapat dipastikan spesifikasi yang lebih lanjut berkenaan kedua-dua jenis kad ini melainkan kapasiti VRAM. Bagi GP104-100 Miner, ia menawarkan 6GB manakala GP104-100 pula menawarkan 8GB GDDR5X.
Perlu diambil perhatian tentang kad grafik ini adalah kesemuanya tidak menyediakan sebarang output video dan ianya hadir dengan jaminan untuk selama tiga bulan sahaja. Pastinya, kad grafik-grafik ini tidak sesuai digunakan untuk tujuan grafik dan mungkin tidak sesuai untuk menggelarkannya kad grafik.
Macam mana kalau ianya digelar sebagai Kad Perlombongan?
Sumber berita dan Imej diperoleh dari VideoCardz