Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pihak kerajaan telah membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekali lagi membuat pengeluaran sehingga RM10,000 dari caruman masing-masing. Kenyataan tersebut dibuat menerusi sidang media khas yang diadakan pada jam 1.30 petang tadi.
Sebelum ini pihak kerajaan telah membenarkan tiga skim pengeluaran KWSP melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra. Sejumlah RM101 billion pengeluaran telah dibuat melibatkan 7.34 juta pencarum berikutan penularan wabak pandemik COVID-19 sejak tahun 2020.
Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dibuat sepanjang tempoh pemulihan pandemik ini, masih terdapat rakyat Malaysia yang masih lagi terkesan dengan impak ekonomi dari pandemik ini. Selepas menilai permintaan yang dibuat, pohak kerajaan telah memutuskan untuk memberikan pengeluaran khas KWSP sehingga RM10,000.
Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.
Justeru, Kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.
Perincian pengeluaran khas KWSP ini akan dibuat oleh @MOFmalaysia dan @KWSPMalaysia pic.twitter.com/iY4rfVWgFf
— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) March 16, 2022
Keputusan ini sukar dilakukan kerana melibatkan simpanan di hari tua rakyat dan pengeluaran khas merupakan jalan tengah bagi keperluan pada hari ini dan masa depan.
Setakat ini KWSP masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara ini dan nama bagi pengeluaran KWSP ini juga masih lagi belum diumumkan.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan telah mengumumkan dividen KWSP sebanyak 6.1% bagi tahun 2021. Angka ini kurang dari sasaran dividen 6.7% memandangkan terdapat pengurangan pada aliran masuk dari pencarum.
Desakan pengeluaran KWSP ini dibuat oleh kebanyakan pihak berikutan pelbagai faktor semasa yang dihadapi rakyat seperti kesan dari wabak pandemik, kenaikan kos sara hidup dan sebagainya.