Bagi anda yang memerlukan tunai tambahan, program i-Sinar KWSP kini telah dibuka untuk permohonan. Program ini membenarkan pencarum mengeluarkan tunai sehingga RM60,000 dari Akaun 1.

Buat masa ini, hanya permohonan dari pencarum di bawah Kategori 1 yang diterima. Pencarum di bawah kategori ini juga tidak memerlukan dokumen sokongan tambahan untuk melengkapkan permohonan.

Untuk pencarum di bawah Kategori 2 pula, permohonan hanya dibuka bermula dari 11 Januari 2021.

Pemohon yang layak

Berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh KWSP Isnin lalu, program i-Sinar disasarkan kepada pekerja-pekerja yang telah kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji sehingga sekurang-kurangnya 30%. Di bawah Kategori 1, pencarum KWSP perlu memenuhi kriteria berikut:

  • Pencarum yang tidak mencarum ke KWSP untuk sekurang-kurangnya dua bulan berturut-turut; ATAU
  • Pencarum yang masih lagi bekerja tetapi mengalami pengurangan gaji pokok dari 30% dan ke atas bermula dari Mac 2020 sehingga kini.

Proses kelulusan akan dilakukan secara automatik berdasarkan data KWSP. Bagi pencarum yang hanya mampu membuktikan pengurangan gaji melalui dokumen sokongan tambahan, pencarum berkenaan perlu menunggu sehingga 11 Januari 2021 untuk permohonan di bawah Kategori 2. Bagi yang tidak mengalami pengurangan gaji tetapi berminat untuk membuat pengeluaran Akaun 1, pencarum berkenaan digalakkan untuk memohon di bawah Kategori 2.

Berapa jumlah pengeluaran yang dibenarkan?

Pencarum dengan simpanan Akaun 1 berbaki kurang dari RM100,000, pencarum berkenaan boleh membuat pengeluaran sehingga maksimum RM10,000 secara berperingkat selama 6 bulan.

Sebaik diluluskan, pencarum akan menerima sehingga RM5,000 untuk bayaran pertama dan akan dikredit masuk pada bulan berikut selepas permohonan dihantar dan diluluskan.

Jika pencarum memiliki simpanan melebihi RM100,000 di dalam Akaun 1, pencarum dibenarkan untuk mengambil 10% dari baki semasa dengan had maksima RM60,000.

Bayaran pertama boleh dipilih sehingga RM10,000 dengan baki selebihnya dibayar secara berperingkat pada 5 bulan berikutnya. Misalnya, jika permohonan dihantar dan diluluskan pada Disember, bayaran pertama akan diterima pada Januari 2021.

Pencarum yang mempunyai baki di dalam Akaun 1 melebihi RM100,000 juga boleh menerima keseluruhan nilai yang dituntut kurang dari 6 bulan jika nilai yang dimohon adalah terlalu sedikit.

Jika contohnya memohon pengeluaran sebanyak RM10,000 sahaja, pencarum boleh mendapatkannya sekaligus dalam satu bulan kerana had kelayakan penerimaan pada bayaran pertama adalah RM10,000.

Di mana permohonan i-Sinar boleh dibuat?

Pencarum KWSP hanya boleh menghantar permohonan i-Sinar secara dalam talian melalui portal rasmi di https://isinar.kwsp.gov.my. Anda tidak dibenarkan untuk membuat permohonan di kaunter-kaunter cawangan dan perlu diingatkan supaya berhati-hati dengan portal dan aplikasi palsu dari scammer.

Panduan langkah demi langkah

  1. Kunjungi portal rasmi iSinar di https://isinar.kwsp.gov.my
  2. Masukkan nombor kad pengenalan dan nombor telefon mudah alih
  3. Tekan butang Teruskan
  4. Satu OTP akan dihantar ke nombor telefon yang telah didaftarkan untuk pengesahan atau jawab soalan keselamatan yang diberikan
  5. Gunakan gelangsar untuk menetapkan nilai pengeluaran yang diinginkan dari Akaun 1
  6. Pada gelangsar berikutnya, tetapkan nilai amaun bayaran pertama anda. Nilai bayaran bulanan berikutnya akan disesuaikan berdasarkan bayaran pertama tadi.
  7. Masukkan maklumat peribadi anda
  8. Masukkan maklumat akaun bank anda untuk terima bayaran (pastikan akaun bank berkenaan aktif)
  9. Semak dan sahkan permohonan i-Sinar anda

Sebaik butang ‘Hantar’ ditekan, pencarum akan menerima notis pengesahan permohonan telah diterima. Status permohonan boleh disemak bermula dari 4 Januari 2021.

Perlukan bantuan? Hubungi talian hotline i-Sinar

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi talian hotline i-Sinar  03-8922 4848 yang dibuka dari 8 pagi hingga 8 malam, setiap Isnin hingga Jumaat kecuali hari cuti umum Persekutuan dan Selangor.

Bagi pencarum yang tidak mempunyai i-Akaun, anda boleh mengaktifkannya di cawangan KWSP berhampiran atau di Kiosk menggunakan nombor telefon mudah alih anda. Maklumat lanjut juga boleh didapati menerusi laman soalan-soalan lazim.

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.