Utama Mobile Aplikasi i-Citra mula dibuka hari ini, Ini cara membuat pengeluaran RM 5,000 dari...

i-Citra mula dibuka hari ini, Ini cara membuat pengeluaran RM 5,000 dari akaun KWSP anda

699
0

Berdasarkan pengumuman yang telah dibuat di bawah inisiatif PEMULIH, pencarum KWSP yang berdepan dengan masalah kewangan dibenarkan untuk membuat pengeluaran sehingga RM 5,000 melalui i-Citra.

Permohonan mula dibuka pada hari ini dan berikut adalah apa yang anda perlu tahu mengenainya.

Siapakah yang layak untuk i-Citra?

Pengeluaran melalui i-Citra dibuka kepada seluruh pencarum KWSP yang berusia 55 tahun dan ke bawah. Ia dibuka kepada warganegara Malaysia, bukan warganegara dan juga penduduk tetap (PR).

Untuk layak membuat pengeluaran tersebut, anda perlu mempunyai minimum RM 150 di dalam akaun KWSP pada hari permohonan di buat.

Jumlah had pengeluaran yang dibenarkan adalah RM 5,000 dan ia akan dipecah-pecahkan mengikut bulan sehingga 5 bulan. Bayaran maksimum pada setiap bulan adalah RM 1,000.

Ini bermakna, jika anda layak membuat pengeluaran RM 5,000, anda akan menerima RM 1,000 sebulan untuk selama 5 bulan. Jika jumlah pengeluaran yang dibenarkan adalah lebih rendah, jumlah yang diterima pada setiap bulan mungkin boleh menjadi lebih pendek.

Amaun minimum pengeluaran yang dibenarkan adalah RM 50 dan anda perlu mempunyai baki sekurang-kurangnya RM 100 di dalam Akaun 1 selepas pengeluaran di buat.

Secara ‘default’ pengeluaran i-Citra akan dibuat pada Akaun 2. Jika baki di dalam Akaun 2 tidak mencukupi, i-Citra akan membuat pengeluaran Akaun 1 pula.

Cara memohon i-Citra KWSP

Permohonan i-Citra hanya boleh dibuat menerusi laman rasmi di https://icitra.kwsp.gov.my/ dengan mengikuti langkah-langkah berikut:

  1. Pergi ke portal i-Citra
  2. Log masuk dengan menggunakan nombor kad pengenalan atau pasport anda, dan daftar nombor telefon bimbit anda.
  3. Portal tersebut seterusnya meminta anda memasukkan kod pengesahan SMS untuk meneruskan ke langkah berikutnya. Masukkan nombor enam digit yang dihantar ke nombor telefon bimbit anda.
  4. Anda boleh memilih untuk mengeluarkan jumlah maksimum yang dibenarkan atau memilih untuk mengurangkan amaun pengeluaran.
  5. Amaun pengeluaran yang dibenarkan akan dipaparkan bersama pecahan jadual pemberian. Klik ‘Teruskan’ untuk ke langkah berikutnya.
  6. Sahkan maklumat peribadi anda bersama-sama emel, alamat surat-menyurat, dan nombor akaun bank. Klik ‘Teruskan’.
  7. Semak sekali lagi maklumat berkenaan dan jika ia disahkan betul, klik butang ‘Hantar’.

Permohonan i-Citra dibuka bermula pada hari ini, 12 Julai sehingga 30 September 2021. Jika anda memohon pada bulan ini, penerimaan pertama dijangka akan dimasukkan ke bank yang didaftarkan anda pada sekitar Ogos 2021.

Harus diingat, selepas anda menghantar permohonan i-Citra, anda tidak dibenarkan untuk mengubah amaun yang akan dikeluarkan. Anda dibenarkan untuk membatalkan permohonan i-Citra selepas menerima pengesahan, namun anda tidak dibenarkan untuk memohonnya lagi.

Untuk maklumat lanjut, layari portal i-Citra dan laman soalan-soalan lazim. Jika anda mempunyai pertanyaan lanjut, anda boleh tanya pada “ELYA” pada laman utama KWSP atau hubungi talian hotline i-Citra di 03-89224848.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.