Utama Komputer Kenapa Pemacu USB Perlu ditanggalkan dengan cermat?

Kenapa Pemacu USB Perlu ditanggalkan dengan cermat?

977
0

Menanggalkan USB dari labuhannya seharusnya tidak boleh dilakukan secara terburu-buru. Ia sepatutnya ditanggalkan dengan cara yang selamat. Bak kata pesanan orang tua dulu-dulu, biar lambat asalkan selamat. Kalau tergesa-gesa, kelak nanti akan menyusahkan diri sendiri.

Hal ini kerana, menanggalkan storan media USB secara tergesa-gesa boleh menyebabkan berlakunya kerosakan atau kehilangan data pada peranti storan terbabit. Ia seringkali terjadi ketika sistem komputer anda sedang melakukan proses baca atau menulis (read/write) pada storan itu.

Apabila kita mencucuk pemacu USB pada komputer, kita memberikan kebebasan kepada komputer kita untuk menulis dan membacakan data darinya. Pada masa yang sama, sesetengah data hadir dalam bentuk cache.

Proses caching berlaku dengan komputer tidak menulis maklumat secara terus kepada peranti USB berkenaan, sebaliknya ia akan disimpan di dalam memori (RAM) komputer itu terlebih dahulu. Jika anda menanggalkan secara tiba-tiba dari komputer sebelum maklumatnya ditulis atau ketika sedang ditulis, berkemungkinan besar fail-fail yang terdapat di dalam storan USB itu menjadi rosak (corrupted).

Satu lagi sebab adalah, pemacu flash memerlukan bekalan kuasa yang stabil untuk tempoh sekitar 0.25 saat selepas arahan menulis (write command) diberikan.

Bagaimanapun, Windows secara automatiknya telah melumpuhkan (disabled) caching pada peranti USB, melainkan anda sendiri secara spesifik inginkan ianya dihidupkan (enabled). Pada kebanyakan masa, anda tidak perlu pun untuk klik pada butang ‘Safely Remove Hardware’ jika tiada sebarang aktiviti baca dan tulis pada peranti berkenaan.

Fungsi ‘Safely Remove Hardware’ berkenaan diwujudkan untuk memberikan tahap keselamatan yang lebih baik kepada pengguna supaya dapat mengurangkan sebarang insiden kerosakan fail yang tidak disengajakan.

Menggunakan fungsi ini membolehkan fail-fail ditutup secara ‘terhormat’ selain dari memelihara kemurnian data, petunjuk (pointers) dan petunjuk saiz fail (indicators). Apabila menulis pada pemacu, komputer tidak semestinya perlu untuk membuang (flush) buffer dan hanya sebahagian pada data sahaja yang sudah ditulis. Menggunakan prosedur yang betul ketika menanggalkan pemacu USB, menjamin data-data dan petunjuk fail berada di dalam keadaan yang sempurna.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.