Utama Android Honor Pandang Pertama HONOR Magic 7 Pro; Lebih mantap lagi dengan AI Google...

Pandang Pertama HONOR Magic 7 Pro; Lebih mantap lagi dengan AI Google Gemini

186
0

HONOR Magic 7 Pro telah pun diperkenalkan secara rasminya di China baru-baru ini dan menampilkan sejumlah penambahbaikan yang cemerlang terutamanya pada ciri zum kameranya. Selain membawakan kamera telefoto 200MP, ia juga memperkenalkan ciri zum AI berasaskan awanan yang pertama pada telefon pintar.

Menurut HONOR, terdapat beberapa penambahbaikan yang ketara seperti pengkhususan pada ciri sokongan berasaskan kecerdasan buatan (AI) Google Gemini. Pun begitu, beberapa ciri-ciri mantap dari model terdahulu masih lagi dikekalkan.

Kembali kepada fitrah skrin rata

Ini merupakan telefon pintar dengan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite yang pertama kali kami berpeluang untuk membuat ulasan. Reka bentuknya amat berbeza dari segi paparan kerana tidak lagi menggunakan paparan melengkung. Ia sebaliknya mempunyai paparan yang lebih rata dengan gaya kuad-lengkung seakan-akan Xiaomi 14.

Trend skrin rata dilihat mula kembali selepas ini pertama kali diperkenalkan pada Galaxy Note Edge 10 tahun dulu. Dijangkakan trend ini akan berterusan pada tahun depan apabila Galaxy S25 Ultra kelak juga dijangka meneruskan paparan yang rata sebagaimana yang telah mula kembali pada Galaxy S24 Ultra tahun ini.

Skrin yang lebih rata juga lebih mudah dikendalikan selain lebih teguh dan kukuh dari skrin yang melengkung. Paparan pada Magic 7 Pro ini juga lebih lebar dari model sebelumnya pada 77.1 mm berbanding 75.8 mm pada Magic 6 Pro.

Pun begitu, spesifikasi paparannya yang cemerlang pada tahun lepas masih lagi dikekalkan dengan panel OLED LTPO 6.9-inci, kadar penyegaran 120Hz, resolusi FHD+ dan kecerahan puncak 5000 nits.

Kamera hadapan yang juga dilengkapkan dengan sensor ToF 3D bagi tujuan pengecaman wajah ditempatkan pada bahagian berbentuk pil di sebelah atas telefon pintar ini. Selain teknologi imbasan wajah 3D yang sofistikated, HONOR Magic 7 Pro turut mempunyai ciri keselamatan biometrik lain melalui pengimbas cap jari terbina bawah skrin.

Fotografi yang lebih berpandangan jauh dan berseri

HONOR Magic 7 Pro menampilkan tri-kamera yang terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sensor 1/1.3-inci HONOR Falcon Camera H9000 HDR Super Dynamic yang dilihat tidak jauh beza dengan sensor OmniVision OV50H pada model sebelum ini.

Turut didatangkan bersama-sama dengannya, sensor ultra-lebar 50MP dan sensor telefoto 1/1.4-inci berkuasa 200MP. Keupayaan tahap baharu ini membolehkan telefon pintar ini menyokong ciri yang dikenali sebagai AI Super Zoom. Fungsi ini sempat diuji oleh kami untuk mengambil foto bulan yang kebetulan sedang mengambang dan menghasilkan imej bulan yang kelihatan menakjubkan.

@harianteknologi

HONOR Magic 7 Pro menyokong ciri zoom digital sehingga 100X. Telefon pintar mercu baharu keluaran HONOR ini mempunyai kamera utama 50MP dengan OIS, kamera berperiskop 200MP dengan zoom optikal 3X, dan kamera ultra lebar 50MP dibelakangnya. #honor #honormagic7pro #moonphotography

♬ Semakin rindu semakin asyik – ꧁ 𝑹.𝒌𝒂𝒚_𝑶𝒇𝒇𝒊𝒄𝒊𝒂𝒍 ꧂

Kami berpandangan ia mungkin sensor yang sama dengan sensor 1/1.4-inci Samsung S5KHP9 yang digunakan oleh modul telefoto Vivo X100 Ultra.

Perisian bagi fungsi fotografi telefon pintar ini disokong oleh HONOR Image Engine 3.0 yang mempertingkatkan imej menerusi algoritma untuk pemurnian portrait, pelarasan pencahayaan dan bayang, kualiti imej yang ditangkap, serta optimasi telefoto. AI Enhanced Portrait dan mod Harcourt Potrait juga disediakan bagi menambahbaik lagi fotografi potrait.

Kuasa pemprosesan Terpaling Elit

Sebagaimana yang pernah dijangkakan sebelum ini, HONOR Magic 7 Pro dilengkapkan dengan pemprosesan terkini Qualcomm yang paling dinanti-nantikan, Snapdragon 8 Elite. Kebanyakan penganalisis menjangkakan pemprosesan baharu keluaran Qualcomm berkenaan mampu melepasi prestasi pemprosesan Apple 18 Pro. Pendek kata, HONOR Magic 7 Pro menyertai kumpulan telefon pintar Android elit yang lain untuk berdepan dengan Apple.

Justeru, kuasa yang ditawarkannya ini dijangka melebihi daripada apa yang diperlukan oleh permainan-permainan mudah alih berkeperluan grafik tinggi seperti Genshin Impact dan Call of Duty Mobile. Malah, tidak mustahil ia

Unit ulasan yang kami terima mempunyai RAM sebanyak 12GB dan kapasiti storan sebesar 512GB. Sesuai dengan statusnya sebagai telefon pintar mercu terbaik keluaran HONOR setakat ini.

Ciri-ciri AI yang lebih mantap

HONOR Magic 7 Pro didatangkan dengan antaramuka Magic OS 9.0 berasaskan Android 19. Apa yang menarik, perisiannya mengetengahkan ciri-ciri AI yang merangkumi antaranya:

  • AI Deepfake Detection Technology – membantu memaklumkan pengguna jika mendapati panggilan video yang diterima datangnya dari penjenayah yang menggunakan teknologi deepfake.
  • Magic Portal 2.0 – Lanjutan daripada ciri yang ditawarkan pada Magic 6 Pro sebelum ini dengan penambahbaikan.
  • Ciri-ciri AI di dalam aplikasi HONOR AI Notes dengan sokongan Google Gemini
    • AI Summary – membuat rumusan artikel yang panjang dan memberikan poin-poin penting dengan pantas.
    • AI Minutes – mencatatkan transkripsi rakaman perbincangan seperti di dalam mesyuarat, temuramah atau ceramah dalam bentuk teks.
    • AI Format – membentuk format untuk mesyuarat, temu ramah dan ceramah yang diringkaskan dalam pelbagai gaya.
  • Interpreter anda Face to Face (AI Translate) – fungsi terjemahan secara masa nyata yang kini menyokong sehingga 13 jenis bahasa termasuk Bahasa Melayu, Korea, Jepun dan Kantonis.
  • Magic Avatar – Boleh mewujudkan watak maya anda sendiri yang menunjukkan mood berdasarkan status anda dan juga berinteraksi dengan anda.

AI Deepfake Detection Technology

Teknologi baharu yang diperkenalkan bagi membantu pengguna membanteras aktiviti penipuan (scam) dalam talian, AI Deepfake Detection Technology dapat memberikan amaran kepada pengguna jika menerima panggilan yang meragukan. HONOR Magic 7 Pro merupakan telefon pintar pertama di dunia yang menawarkan teknologi ini.

Ciri yang terbina dalam telefon pintar ini akan mengeluarkan notis amaran jika dapat mengenal pasti panggilan video yang dibuat oleh penjenayah (scammer) yang menyamar menggunakan teknologi deepfake.

Untuk maklumat buat pembaca, teknologi deepfake ini sudah agak lama diperkenalkan dan ia pernah digunakan di dalam siri filem Fast and Furious yang menggunakan wajah mendiang Paul Walker. Paling terbaru, teknologi ini turut disalahgunakan oleh beberapa iklan dalam talian yang menggunakan wajah selebriti terkenal seperti Khairul Aming, Siti Nurhaliza dan juga Aaron Aziz untuk menipu pengguna.

Bateri tahan lebih lama dengan teknologi silikon karbon

Pertama kali diperkenalkan ke pasaran global melalui Magic 6 Pro, kini sudah sampai generasi ketiga bateri silikon-karbon digunakan pada Magic 7 Pro. Penggunaan silikon ke dalam anod karbon membolehkan kapasiti yang lebih besar ditawarkan tanpa perlu menambahkan ketebalan telefon pintar ini.

Kapasitinya 250 mAh lebih besar dari model sebelumnya, menjadikannya mempunyai 5,850mAh. Bersama-sama kapasiti baterinya yang lebih besar, telefon pintar mercu ini juga menyokong pengecasan pantas dengan keupayaan pengecasan 100W secara berwayar dan 80W secara nirwayar.

Ada subwoofer wei!

Saya agak terkejut kerana mendapati HONOR Magic 7 Pro menghasilkan audio yang mempunyai kesan bass. Ini kerana anda boleh merasai sedikit kesan gegaran dari audio yang dihasilkan bersama-sama sepasang pembesar suaranya dengan subwoofer di dalamnya.

Hasilnya memberikan audio yang lebih nikmat untuk didengari tanpa perlu anda memasangkannya pada pembesar suara luaran. Pada halwa telinga saya, kualiti audio dari pembesar suara HONOR Magic 7 Pro ini antara yang terbaik pernah ditawarkan pada mana-mana telefon pintar mercu.

Ketersediaan

Buat masa ini tidak dapat dipastikan berapakah harga telefon pintar ini apabila hadir ke pasaran Malaysia kelak. Dilaporkan, HONOR Magic 7 Pro akan dilancarkan secara rasminya di Malaysia pada 9 Januari 2024.

Cuma apa yang saya dapat berikan gambaran, mungkin harganya kelak di sekitar bawah RM5,000, mengambil kira spesifikasi perkakasan dan perisiannya serta model-modelnya yang terdahulu.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.