HONOR Magic 6 Pro dilancarkan bersama-sama usaha membawakan teknologi kecerdasan buatan (AI) ke dalam telefon pintar bertaraf mercu. Model telefon pintar terkini keluaran HONOR ini menggabungkan keselesaan penggunaan paparan, keupayaan fotografi, keunikan teknologi bateri dan juga kuasa pemprosesan premium dari Qualcomm.
Melalui antaramuka MagicOS 8.0 berasaskan Android, ia juga menyokong sepenuhnya apa yang ditawarkan oleh Google Mobile Services (GMS) sebagaimana yang terdapat pada Magic 5 Pro dan juga Magic V2. Apa yang baharu pada sistem operasi ini adalah penawaran MagicLM, kecerdasan buatan model bahasa besar (large language model, LLM) atas peranti dengan tujuh billion parameter.
MagicLM juga terbuka kepada para pembangun dan rakan industri dalam menghasilkan interaksi berasaskan AI pada aplikasi masing-amsing dengan telefon-telefon pintar keluaran HONOR. Keupayaan AI untuk HONOR Magic 6 Pro ini banyak disumbangkan oleh penggunaan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3.
Berdasarkan kenyataan rasminya, sistem operasi dan AI yang ditawarkan melalui MagicLM merupakan berdasarkan antaramuka berasaskan niat (intent based). Ia akan menginterpretasikan niat pengguna dan menawarkan pilihan interaksi berikutnya kepada pengguna menerusi pintasan, penghalaan atau pop-up automatik untuk susulan semula.
Menerusi MagicLM, HONOR telah memperkenalkan dua ciri baharunya iaitu Magic Portal dan Magic Capsule yang baharu sahaja ditawarkan kepada pengguna menerusi kemaskini firmware pada 28 Mac 2024.
Apa yang Magic Portal dan Magic Capsule boleh lakukan pada HONOR Magic 6 Pro?
Magic Portal akan menganalisis mesej-mesej dan tabiat pengguna sebelum memandu pengguna ke aplikasi yang relevan berdasarkan analisis tersebut. Misalnya, HONOR Magic 6 Pro akan menghalakan ke aplikasi Calendar jika mengesan mesej yang mempunyai maklumat jemputan. Satu lagi contoh, ia juga boleh membawakan pengguna ke aplikasi Google Maps jika mengesan mesej yang mengandungi alamat.
Seterusnya untuk Magic Capsule pula, ia menawarkan apa yang dinamakan sebagai “interaksi berbilang modal menerusi skrin sentuh”. Secara ringkasnya ia adalah kaedah-kaedah lain untuk melengkapkan interaksi pengguna dengan telefon pintarnya.
Ia didatangkan bersama-sama ciri penggunaan kawalan melalui pergerakan mata dan gestur seperti yang dipertontonkan pada tahun lepas. Cuma fungsi ini masih lagi belum ditawarkan untuk model di Malaysia dan juga global. Dijangkakan fungsi ini akan ditawarkan kelak di dalam kemaskini yang akan datang.
Buat masa ini, Magic Capsul menyediakan notifikasi tambahan pada bahagian atas skrin Magic 6 Pro. Lebih kurang sama gayanya dengan notifikasi Dynamic Island pada iPhone. Anda masih lagi boleh menggunakan jari untuk mengetik pada Magic Capsule dan ia akan berubah mengikut notifikasi yang terkini.
Aplikasi dan Ciri-Ciri yang menyokong Magic Portal dan Magic Capsule
Berbeza dengan HONOR Magic 6 Pro di pasaran China, Magic Portal bagi pasaran global termasuk Malaysia tidak menawarkan sokongan sehingga lebih dari 100 aplikasi. Kebanyakan aplikasi yang disokong bagi versi pasaran China berkenaan tidak terdapat di luar dari China. Untuk pasaran seperti Malaysia dan lain-lain, Magic Portal menyokong aplikasi seperti berikut:
Peta dan Navigasi
- Google Maps
- HERE WeGo
- OsmAnd
Produktiviti
- Gmail
- Slack
- Google Chat
Persidangan video dan mesyuarat dalam talian
- Zoom
- Microsoft Teams
Media sosial dan permesejan
- Facebook Messenger
- Snapchat
- LINE
- Viber
- imo
- VK (VKontakte)
- VK Messenger
- Botim
Enjin carian dan pelayar web
- Google Image Search
- Firefox Browser
- Dege
- DuckDuckGo
E-dagang
- Amazon
- Meesho
- Myntra
- Flipkart
- eBay
HONOR turut menyatakan aplikasi-aplikasi ini hanya sebahagian daripada pengelannya ciri tersebut ke pasaran global dengan lebih banyak aplikasi akan diperkenalkan di masa akan datang. Untuk Magic Capsule pula ia buat masa ini menyokong aplikasi tetapan lalai HONOR seperti Calling, Timer, Alarm, Screen Casting dan banyak lagi.