Utama Ulasan Produk Pandang Pertama Xiaomi 14; Kecil tapi Besar Untungnya

Pandang Pertama Xiaomi 14; Kecil tapi Besar Untungnya

412
0

Xiaomi 14 baharu sahaja dilancarkan di pasaran Malaysia pada 8 Mac lalu bersama-sama Xiaomi 14 Ultra. Telefon pintar baharu keluaran Xiaomi ini hadir dengan reka bentuk yang serba-serbi cantik dan menawan sebagaimana unit warna putih yang kami terima untuk ulasan secara ringkas pada kali ini.

Sekali pandang, sesetengah pengguna mungkin terkeliru seperti kami kerana menganggap ia adalah Xiaomi 13 yang dilancarkan pada tahun lepas kerana rupa luarannya yang kelihatan amat mirip.

Kotak pembungkusannya sama seperti model keluarannya pada tahun lepas yang hadir dengan serba putih. Di dalamnya, Xiaomi 14 didatangkan dengan barangan yang terdiri daripada, kabel USB-C ke USB-C, pin penolak SIM, selongsong pelindung, pengecas 90W, helaian panduan, dan telefon pintar berkenaan.

Walaupun ia didatangkan dengan selongsong perlindungan (protective case), kami agak keberatan untuk memasangkannya kerana warna putihnya yang amat mencuri perhatian. Namun, jika tidak memakainya telefon pintar berkenaan akan terdedah kepada risiko tercalar selain juga mudah meninggalkan kesan cap jari.

Selain dari warna putih seperti unit ulasan yang kami terima ini, Xiaomi 14 turut didatangkan dengan pilihan warna Hitam, Merah Jambu dan Hijau Jed.

Prestasi yang lebih lancar

Melalui paparan OLED LTPO QHD+ 6.36-inci, Xiaomi 14 memiliki paparan dengan kadar penyegaran semula adaptif 1Hz hingga 120Hz dengan bahagian berpenebuk lubang yang menempatkan kamera hadapan. Paparannya ini juga mempunyai tahap kecerahan maksima sehingga 3,000 nits. Untuk perlindungan, skrinnya ini menerima perlindungan melalui kaca Corning Gorilla Glass Victus.

Seperti kebanyakan telefon pintar mercu keluaran tahun terkini, Xiaomi 14 sungguhpun bersaiz kecil juga menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3. Ia digandingkan dengan konfigurasi memori dan storan 12GB/512GB untuk menyokong telefon pintar yang dioperasikan oleh Android 14 melalui antaramuka Xiaomi HyperOS.

Hasilnya, telefon pintar ini merupakan antara peranti Android terkini yang paling pantas dan lancar. Selain pengendalian yang lebih lancar dan pantas, animasi antaramuka HyperOS ketika pengendaliannya juga sedap mata memandang. Pengguna Xiaomi yang biasa menggunakan MIUI sebelum ini juga mungkin tidak berasa kekok menggunakan antaramuka baharu ini.

Kamera Xiaomi 14

Pada bahagian belakangnya, ditempatkan tri-kamera yang masing-masing mempunyai sensor 50MP dan lensa yang dibangunkan secara bersama dengan Leica. Berdasarkan pengamatan kami, sistem kameranya mampu memberikan perincian jitu, warna yang terang dan kesan bokeh yang menjadi di dalam mod potret.

Zum optikal 3.2x pada kamera telefotonya membolehkan gambar potret ditangkap dengan lebih ekspresif. Manakala kamera ultra lebar 14mm yang disediakannya pula boleh menjadikan foto pemandangan lebih mengagumkan dan foto suasana kelihatan dramatik.

Hasil kerjasama dengan Leica juga membolehkan kamera-kamera Xiaomi 14 ini mengambil foto dengan warna seakan-akan kualiti imej terbitan untuk majalah. Turut disediakan penuras yang diinspirasikan dari Leica terbina dalam aplikasi kameranya. Anda boleh memilih Leica Authentic untuk tona warna yang kelihatan lebih hidup, atau Leica Vibrant jika inginkan tona warna yang lebih terang.

Keadaan kurang pencahayaan juga mampu dikendalikan oleh kamera utama 50MP Xiaomi 14 ini dan ia juga mampu mengambil foto pada waktu malam dengan baik. Sokongan mod malam juga disediakan di dalam aplikasi kameranya jika anda inginkan foto anda kelihatan lebih terang. Namun, dalam kebanyakan masa anda mungkin tidak memerlukan mod malam berkenaan kerana hasil sedia adanya sudah memadai.

Harga Xiaomi 14 di Malaysia

Berbanding harganya di pasaran Eropah ketika pelancarannya di dalam acara MWC 2024 baru-baru ini, Xiaomi 14 di Malaysia boleh dianggap antara yang terendah di pasaran global.

Harga Xiaomi 14 di Malaysia adalah seperti berikut:

  • Xiaomi 14, RAM 12GB, storan 256GB – RM3,499
  • Xiaomi 14, RAM 12GB, storan 512GB – RM3,799

Pembelian Xiaomi 14 akan berpeluang mendapatkan kotak cenderhati percuma bernilai RM399 selagi stok masih ada menerusi kedai dalam talian rasmi Xiaomi dan juga di Shopee, Lazada, serta wakil pengedar yang sah di seluruh negara.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.