Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah mengumumkan pelan prabayar data mudah alih “Pakej Perpaduan”. Melalui pelan ini pengguna dapat menikmati data sebanyak 30GB pada harga RM30 untuk tempoh selama enam bulan.
Pakej ini akan ditawarkan kepada para belia, komuniti B40, warga kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran tentera dan polis. Ia dijangka akan mula ditawarkan kepada golongan sasaran pada Februari tahun hadapan.
Pengumuman ini merupakan rentetan dari kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital terkait dengan usaha menangani kesan kenaikan kos sara hidup.
Syarikat-syarikat telekomunikasi yang turut serta di dalam pakej ini setakat ini:
- CelcomDigi
- Maxis
- UMobile
- Telekom Malaysia
- YTL
“Separuh harga, tiga kali ganda kelajuan,” ujar menteri berkenaan menerusi sidang media yang diadakan di Putrajaya hari ini.
Fahmi Fadzil menambah RM30 untuk data 30GB adalah pakej asas yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi. Lain-lain penawaran dan perkhidmatan lain boleh ditawarkan oleh syarikat-syarikat mengikut kesesuaian masing-masing.
Beliau turut yakin usaha pihak kementeriannya bersama-sama kerjasama strategik dengan syarikat telekomunikasi ini selaras dengan hasrat kerajaan mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat sekarang ini.
Turut diumumkan pihak kementerian akan menyediakan dana bantuan berjumlah RM 1 juta untuk mangsa-mangsa banjir di seluruh negara. Dana ini hadir dalam bentuk tunai dan fizikal melalui data bencana kementerian.