Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini telah mengumumkan barisan kabinet baharu yang melibatkan perubaharan menteri-menteri. Terdapat beberapa kementerian yang terbahagi kepada dua bahagian seperti Kementerian Komunikasi dan Digital yang kini menjadi Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.
Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh kini kembali ke barisan kabinet sebagai Menteri Digital. Manakala Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil pula dilantik sebagai Menteri Komunikasi.
Di bawah Kementerian Digital, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Ugak Anak Kumbong telah dilantik sebagai Timbalan Menteri. Dalam pada masa yang sama, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi.
Buat masa ini, peranan dan bidang kuasa Kementerian Komunikasi yang baharu dibentuk ini masih lagi belum diketahui. Sebelum pemisahan, Kementerian Komunikasi dan Digital mengawalselia komunikasi seperti penyiaran, industri media, telekomunikasi, perfileman, perkhidmatan pos dan kurier, serta kandungan, perlindungan data peribadi dan digitalisasi.
Nama Kementerian Komunikasi dan Digital pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pengumuman barisan kabinet pertama pada Disember 2022 yang telah melantik Fahmi Fadzil sebagai menterinya. Kementerian tersebut sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan Tan Sri Annuar Musa sebagai menterinya pada Ogos 2021.