Utama Mobile Aplikasi Shopee naikkan bayaran Komisen untuk Peniaga Tempatan bermula Januari 2023

Shopee naikkan bayaran Komisen untuk Peniaga Tempatan bermula Januari 2023

614
0
Shopee

Shopee telah mengumumkan perubahan baharu untuk bayaran komisen bagi peniaga-peniaga tempatan tidak lama lagi. Bermula dari 10 Januari 2023, kadar bayaran komisen untuk peniaga pasar (marketplace) dalam talian di platformnya akan dinaikkan dari 2% sekarang ini kepada sekitar 2.5% hingga 4%.

Peniaga marketplace ini merupakan peniaga tempatan yang bukan dari sebahagian Shopee Mall. Kenaikan kadar komisen ini tidak melibatkan peniaga yang menjual produk dari luar negara di Shopee atau menerusi Shopee Mall.

Selain itu, bayaran komisen ini juga dikenakan kepada peniaga marketplace yang telah melengkapkan sekurang-kurangnya 100 pesanan.Kadar Bayaran Komisen Shopee 2023

Kadar bayaran yang dikenakan ini berbeza-beza di antara kluster, kategori dan sub-kategori. Misalnya, sesetengah barangan elektronik dikenakan bayaran sebanyak 2.5% dengan kategori fesyen pula dikenakan pada 4%. Kadar ini juga tidak termasuk dengan tambahan SST 6%.

Walaubagaimanapun, Shopee mengenakan pengecualian bagi barangan keperluan harian tertentu seperti bakeri dan barangan berkaitannya, bahan masakan, makanan ruji, serta makanan sejuk beku dan segar.Bayaran Komisen Shopee 2023

Kadar bayaran komisen baharu ini juga hanya tertakluk untuk pesanan yang dibuat dan dihantar dari 10 Januari 2023. Ini bermakna, pesanan yang dibuat sebelum tarikh berkenaan akan dikenakan kadar 2%, walaupun penghantarannya diselesaikan dari tarikh tersebut.

Selain bayaran komisen, peniaga juga dikenakan bayaran tambahan seperti bayaran transaksi 2.12% dan lain-lain perkhidmatan seperti bayaran pesanan tidak berjaya.

Berbanding kadar bayaran baharu ini, Shopee mengenakan kadar bayaran lebih tinggi untuk kedai jenama rasmi atau rakan niaga di Shopee Mall yang ditetapkan sekitar 4% hingga 6%. Menurut Shopee, peningkatan kadar bayaran ini akan digunakan untuk pelaburan semula bagi meningkatkan program sokongan peniaga bersasar dan peluang mengeksport barangan ke luar negara.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.