Pihak kerajaan sebelum ini pernah dilaporkan sedang mempertimbangkan sama ada akan mengikuti langkah kerajaan Indonesia dalam mengharamkan TikTok Shop. Baru-baru ini Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKD) telah memaklumkan perkara tersebut akan dibincangkan dengan kementerian dan agensi berkaitan.
Menteri Fahmi Fadzil menjelaskan kementerian dan agensi yang berkaitan akan mengadakan perbincangan mengenai aspek pemantauan TikTok Shop. Menurut Bernama, Fahmi Fadzil menyatakan KKD telah menerima maklumat asas berkenaan demografi platform tersebut dan juga barangan jualannya selepas pertemuan di antara TikTok dengan Timbalan Menteri KKD Teo Nie Ching.
KKD juga telah meminta untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan TikTok bagi mendapatkan lebih maklumat. Selepas dari itu, kementerian dan agensi berkaitan akan terlibat sama memandangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhad pada mengawalselia penggunaan rangkaian.
Isu ini turut melibatkan bidang kuasa kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.