Utama Teknologi MDEC, MYNIC, JPDP diletak di bawah Kementerian Digital; SKMM, MyCreative Venture, JKOM...

MDEC, MYNIC, JPDP diletak di bawah Kementerian Digital; SKMM, MyCreative Venture, JKOM di bawah Kementerian Komunikasi

333
0
Imej dari Facebook KKD

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah mengadakan sidang media pada hari ini berikutan rombakan kabinet baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah dipecahkan kepada dua iaitu Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital. Gobind Singh kembali ke barisan kabinet sebagai Menteri Digital manakala Fahmi Fadzil dinamakan untuk meneruskan peranan sebagai Menteri Komunikasi.

Menurut Fahmi Fadzil, kabinet telah membincangkan status agensi-agensi kerajaan berkenaan namun keputusan mengenainya masih lagi belum dibuat setakat ini. Beliau memaklumkan tidak boleh berkongsikan maklumat lanjut sehingga Perintah Fungsi Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan dimuktamadkan dan diwartakan pada sekitar Januari 2024.

Menurut beliau lagi, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak, Jabatan Penerangan (JaPen), Jabatan Penyiaran, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan MyCreative Ventures adalah di bawah Kementerian Komunikasi.

Manakala Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC Bhd dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi akan dipindahkan ke Kementerian Digital. Menurut Fahmi lagi, proses pembentukan Kementerian Digital sedang berjalan dan bakal ditempatkan di Menara Usahawan di Presint 2, Putrajaya.

Berkenaan Digital Nasional Berhad (DNB) yang menguruskan rangkaian 5G negara pula, beliau menyatakan perkara tersebut masih lagi dibincangkan dan keputusan mengenainya akan dibuat kemudian.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.